Keluarga menunggu ketika bas sekolah tiba berikutan kejadian tembakan di Sekolah Tinggi Antioch di Nashville, Tennessee pada Rabu. - Foto AGENSI
NEW YORK: Dua pelajar termasuk seorang yang menembak diri sendiri maut apabila suspek melepaskan tembakan di dalam kawasan Sekolah Menengah Tennessee yang turut mencederakan seorang yang lain.
Polis Nashville dalam satu kenyataan di media sosial berkata, suspek lelaki berusia 17 tahun yang juga pelajar sekolah itu bertindak melepaskan beberapa das tembakan menggunakan pistol di dalam kafeteria di Sekolah Menengah Antioch.
"Seorang pelajar perempuan berusia 16 maut akibat ditembak. Seorang lagi pelajar lelaki berumur 17 tahun, cedera di lengan terkena peluru," kata kenyataan itu.
Polis mengenal pasti identiti remaja lelaki yang melakukan tembakan itu sebagai Solomon Henderson, sementara seorang lagi yang dibunuh dikenali sebagai Josselin Corea Escalante.
Polis masih menyiasat motif keganasan itu. Sekolah Menengah Antioch mempunyai kira-kira 2,000 pelajar dan terletak di pinggir tenggara Nashville.
Keganasan itu adalah yang terbaharu dalam siri tembakan dalam sekolah di Amerika Syarikat (AS) dalam beberapa dekad kebelakangan ini dan hampir dua tahun selepas kejadian tembakan di sebuah sekolah Kristian swasta di Nashville yang menyebabkan tiga pelajar dan tiga kakitangan sekolah maut.
"Kami sangat bersimpati dengan keluarga yang kehilangan orang tersayang," kata Pengarah Sekolah Awam Metro Nashville, Adrienne Battle pada sidang media, menurut akhbar Tennessean.
Battle berkata, Sekolah Menengah Antioch mengambil pelbagai langkah keselamatan termasuk kawalan selamat di pintu masuk sekolah, kehadiran pegawai sumber sekolah dan kamera dengan perisian pengesan senjata, menurut Tennessean.
Terdapat 330 kejadian tembakan di sekolah-sekolah di AS tahun lalu, menurut K-12 School Shooting Database, sebuah laman web yang diasaskan oleh penyelidik David Riedman yang menyenaraikan kejadian tembakan sejak 1966.
Bilangan tahun lalu adalah yang kedua tertinggi, mendahului 2023 yang mencatatkan 349 insiden sedemikian, menurut pangkalan data K-12 itu.
Disiarkan pada: Januari 23, 2025
|