WASHINGTON – Gergasi pembuat cip Amerika Syarikat (AS), Nvidia mendahului kaunter yang mencatatkan kerugian melibatkan saham teknologi semalam berikutan kemunculan model kepintaran buatan (AI) generatif kos murah dari China yang berpotensi mengancam penguasaan AS dalam industri berkembang pesat itu.
Chatbot dibangunkan oleh syarikat permulaan, DeepSeek yang berpangkalan di bandar Hangzhou itu mempamerkan keupayaan setara dengan chatbox yang menjadi penanda aras AI di AS.
Lebih menakjubkan, aplikasi China itu dibangunkan dengan kos jauh lebih murah berbanding pelaburan yang dibuat oleh syarikat-syarikat AS.
Saham Nvidia, yang mana semikonduktornya menguasai industri AI, menyusut hampir 17 peratus di pasaran saham Wall Street, menyaksikan nilai pasaran Nvidia merudum hampir AS$600 bilion (RM2.7 trilion).
DeepSeek menyatakan, pihaknya membelanjakan cuma AS$5.6 juta (RM25 juta) untuk membangunkan chatbotnya.
Ia jumlah sangat kecil jika dibandingkan dengan pelaburan berbilion-bilion dolar yang dibuat oleh gergasi teknologi AS dalam bidang AI.
“Penguasaan teknologi AS sedang dicabar oleh China,” kata Pengarah Penyelidikan platform dagangan XTB, Kathleen Brooks.
“Tumpuan kini adalah sama ada China boleh melakukannya dengan lebih baik, lebih cepat dan lebih murah berbanding AS serta potensi mereka boleh memenangi perlumbaan AI,” tambahnya.
Chatbot DeepSeek kini muncul aplikasi percuma yang mendapat permintaan tertinggi di Apple App Store. – AFP
|