YUNNAN - Seorang gadis yang memainkan watak duyung berdepan detik cemas apabila kepalanya ‘dikunyah’ beberapa saat oleh seekor ikan gergasi ketika membuat persembahan dalam tangki air.
Kejadian menakutkan itu dikatakan berlaku di Xishuangbanna Primitive Forest Park, China pada Selasa lalu.
Artis akuatik asal Rusia yang hanya dikenali sebagai Masha berkata, ketika sedang berenang dalam tangki air berdekatan ikan tersebut, hampir keseluruhan kepalanya dimasukkan ke dalam mulut binatang berkenaan.
Bagaimanapun, Masha sempat bergelut dan berjaya membebaskan dirinya daripada ikan terbabit lalu berenang ke permukaan air.
Disebabkan kejadian itu, Masha mengalami kecederaan di kepala, leher dan bahagian mata.
Masha mendakwa majikannya memaksa dia kembali ke dalam air walaupun sedang berdepan kesakitan melampau selain memberi amaran kepadanya untuk tidak berkongsi rakaman serangan itu.
Tetapi, klip itu tular dengan cepat di aplikasi Douyin iaitu seakan-akan TikTok versi berbahasa Cina.
Susulan itu, pengurusan membayarnya kurang daripada $100 (RM426) sebagai pampasan. - The Daily Mail.
|