CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 16443|Reply: 0

Trump bakal batal visa pelajar sertai tunjuk perasaan pro-Palestin

[Copy link]
Post time 30-1-2025 08:59 PM | Show all posts |Read mode


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangani perintah eksekutif untuk membanteras bantahan anti-Yahudi dan berikrar akan menghantar pulang pelajar kolej bukan warga tempatan dan pelajar lain yang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan pro-Palestin.

Lembaran fakta mengenai perintah eksekutif itu menjanjikan 'tindakan segera' oleh Jabatan Kehakiman untuk mendakwa 'ancaman pengganasan, pembakaran, perbuatan merosakkan harta benda awam dan keganasan terhadap orang Yahudi di Amerika' dan mengawal semua sumber Persekutuan untuk memerangi apa yang disifatkan sebagai 'sikap anti-Yahudi di kampus dan jalan raya kami', sejak serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

"Kepada semua penduduk warga asing yang menyertai tunjuk perasaan pro-Palestin, kami ingin memaklumkan kepada anda, kami akan mencari anda, dan kami akan menghantar anda pulang ke negara asal anda," kata Trump dalam lembaran fakta itu.

"Saya juga akan membatalkan visa pelajar semua yang bersimpati terhadap Hamas di kampus kolej, yang telah dipenuhi dengan radikalisme yang tidak pernah berlaku sebelum ini," kata Trump, mengulangi janji yang diikrarkannya semasa berkempen dalam Pilihan Raya Presiden Amerika 2024.

Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia dan sarjana undang-undang berkata langkah baharu itu akan melanggar hak kebebasan bersuara Perlembagaan dan berkemungkinan akan menimbulkan cabaran terhadap undang-undang negara itu.

"Pindaan Pertama melindungi semua orang di Amerika Syarikat, termasuk warga asing yang belajar di universiti-universiti Amerika,

"Mengusir bukan warga tempatan atas dasar ucapan politik mereka melanggar perlembagaan," kata Carrie DeCell, peguam kanan di Knight First Amendment Institute, Universiti Columbia.

Council on American-Islamic Relations, sebuah kumpulan advokasi Muslim, berkata ia akan mempertimbangkan untuk mencabar perintah itu di mahkamah jika Trump cuba menguatkuasakannya.

Serangan Hamas dan serangan balas Israel ke atas Genting Gaza mendorong tunjuk perasaan pro-Palestin selama berbulan-bulan yang menggemparkan kampus kolej di Amerika.

Kumpulan-kumpulan hak sivil mendokumentasikan lonjakan jenayah kebencian dan insiden yang ditujukan kepada orang Yahudi, Muslim, Arab dan orang lain yang berketurunan Asia Barat.

Perintah itu mewajibkan ketua agensi dan jabatan memberikan cadangan kepada Rumah Putih dalam tempoh 60 hari ke atas semua pihak berkuasa jenayah dan sivil yang boleh digunakan untuk membanteras sikap anti-Yahudi.

Ramai penunjuk perasaan pro-Palestin menafikan mereka menyokong Hamas atau terlibat dalam tindakan anti-Yahudi.

Sebaliknya, menegaskan bahawa mereka menentang serangan tentera Israel ke atas Gaza, di mana pihak berkuasa kesihatan Gaza menyatakan lebih 47,000 orang terbunuh. - Agensi


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

31-1-2025 05:29 AM GMT+8 , Processed in 0.031262 second(s), 10 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list