ISLAMABAD - Seorang remaja perempuan ditembak mati bapanya sendiri di Pakistan yang tidak bersetuju dengan kandungan TikTok dihasilkan mangsa, dalam kejadian di Quetta, Pakistan pada Selasa.
Suspek, Anwar ul-Haq, pada mulanya mendakwa anak perempuannya yang berusia 15 tahun telah ditembak oleh penembak tidak dikenali sebelum akhirnya mengaku melakukan jenayah tersebut.
Polis telah mendakwa Anwar ul-Haq dengan tuduhan membunuh. Selain suspek, abang iparnya turut ditangkap, lapor Reuters.
Menurut pegawai polis Babar Baloch, siasatan awal mendapati bahawa keluarga tersebut tidak bersetuju dengan cara berpakaian, gaya hidup, dan pergaulan sosial anak perempuan kelahiran Amerika Syarikat itu.
Difahamkan, Kedutaan AS belum dimaklumkan mengenai kejadian ini.
Penyiasat polis Zohaib Mohsin menambah bahawa telefon bimbit mangsa telah dirampas dan kes sedang disiasat termasuk dari aspek pembunuhan demi kehormatan.
Keluarga tersebut kembali ke wilayah Balochistan di Pakistan baru-baru ini setelah tinggal di Amerika Syarikat selama kira-kira 25 tahun.
Anwar ul-Haq, yang mempunyai kewarganegaraan AS, memberitahu polis bahawa anak perempuannya mula mencipta kandungan yang dianggap "tidak senonoh" di TikTok semasa tinggal di AS dan terus berkongsi video selepas kembali ke Pakistan.
Lebih daripada 54 juta orang menggunakan TikTok di Pakistan, sebuah negara dengan 241 juta penduduk.
Kerajaan Pakistan telah beberapa kali menyekat aplikasi perkongsian video tersebut dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana moderasi kandungan.
Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan, lebih 1,000 wanita dibunuh setiap tahun di Pakistan oleh anggota komuniti atau ahli keluarga demi maruah dan kehormatan. - Awani
|