
MIRI: “Lambat beberapa minit lagi, mungkin saya akan terperangkap di dalam tandas,” demikian kata salah seorang mangsa yang terselamat dalam insiden tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, hari ini.
Nur Afiqah Nabilah Muhd Mahmud, 29, berkata, semasa kejadian itu berlaku, dia baru sahaja keluar dari tandas.
“Sekitar jam 2 pagi, saya turun pergi ke tandas, manakala ibu saya di bawah tengah menyiapkan nasi lemak untuk berjual, dan kakak serta adik-beradik saya yang lain dekat atas.
“Selepas saya pergi tandas, saya naik ke atas, dan tidak lama selepas itu, saya dengar macam ada bunyi guruh dan rumah kami rasa macam bergoyang.
“Semasa kejadian berlaku, saya dan adik-beradik tengah berborak, dan secara tiba-tiba kami dengar bunyi tanah runtuh, dan rumah bergoyang sehingga almari kami terjatuh,” katanya ketika ditemu bual.
Menurutnya, dalam kejadian tersebut, mereka sekeluarga terselamat kerana mereka semua sedang berjaga pada masa itu.
“Saya dan adik-beradik yang lain berjaya keluar dari tingkap atas, manakala bapa saya dapat dikeluarkan dari tingkap bawah.
“Sementara itu, ibu saya terperangkap di dapur kerana dia pengsan, namun berjaya diselamatkan oleh pihak bomba.
“Kaki ibu saya ada mengalami kecederaan, namun sudah dibawa ke hospital bersama dengan saudara saya di sebelah rumah, dua orang, iaitu dua mangsa yang berjaya diselamatkan,” ujarnya.
Katanya lagi, saudaranya yang merupakan mangsa sebelah rumahnya itu adalah seorang daripada tujuh penghuni, namun hanya dua orang sahaja yang berjaya diselamatkan.
|