
KOPRATASA: Dari kiri, Adiwangsa, Usop, Sani dan Siso.
KOTA KINABALU: Kumpulan Kopratasa, yang terkenal sebagai pelopor lagu puisi tanah air, kini kembali mewarnai dunia muzik dengan single terbaharu mereka, Menuju Tengah Malam.
Lagu terbitan Luncai Emas Sdn. Bhd. itu dicipta oleh Adiwangsa Sukma, seorang komposer serta penyanyi lagu puisi, berdasarkan puisi nukilan Usop Kopratasa.
Menurut Adiwangsa, keterlibatannya dengan Kopratasa bermula apabila menyedari semangat tinggi kumpulan itu untuk menghidupkan semula genre lagu puisi selepas sekian lama menyepi.
“Lagu itu dirakamkan di Studio 67, milik saya sendiri, dan diedarkan oleh Luncai Emas. Saya yakin, susunan kata-kata puitis dalam lagu ini mampu menyemarakkan kembali legasi lagu puisi di Malaysia.
“Dengan mesej yang membawa roh naqliah, saya yakin lagu ini akan menjadi simbol kesinambungan kehebatan Kopratasa yang sukar ditandingi,” katanya dalam kenyataan media, di Kuala Lumpur.
Lagu berentak bolero iaitu cabang muzik Latin itu menampilkan paduan suara yang harmoni antara Usop Kopratasa dan Adiwangsa Sukma.
Kopratasa, yang terdiri daripada Mohd Yusof Ahmad (Usop), Sani Sudin, dan Syed Indera Syed Omar (SISO), mula mencipta nama sejak penerbitan album pertama mereka, Keringat Dalam Pasrah (1987), hingga album terakhir, Kopratasa Masih Bertiga…Tetap Berbisa (2006).
Selepas pembubaran kumpulan Harmoni pimpinan Zubir Ali, Kopratasa mengisi kekosongan dalam genre lagu puisi melalui karya-karya yang meninggalkan kesan mendalam seperti Permata Untuk Isteri (puisi Aziz H.M.), Tetamu Senja (Sasterawan Negara Datuk Seri Dr. A. Samad Said), dan Masihkah Kau Ingat.
Dengan pelancaran Menuju Tengah Malam, Kopratasa bukan sahaja meneruskan warisan seni mereka, malah terus mengangkat martabat lagu puisi di persada muzik tanah air.
|