LOKASI kejadian lelaki warga Nepal maut ditikam rakan sekerja di asrama kilang perabot di Kawasan Perindustrian Sri Gading. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: Lelaki warga Nepal maut ditikam rakan sekerjanya dalam pergaduhan di sebuah asrama kilang perabot di Kawasan Perindustrian Sri Gading di sini, kelmarin.
Mangsa berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi selepas tiga kali ditikam menggunakan pisau dalam kejadian jam 11.30 malam itu.
Sumber berkata, kejadian berlaku ketika mangsa pulang ke asrama penginapan dalam keadaan mabuk sehingga tercetus perselisihan dengan suspek yang juga warga Bangladesh.
Katanya, mangsa menghempap basikal ke arah suspek hingga berlaku pergelutan dan beberapa rakan sekerja suspek turut campur tangan hingga menyebabkan kekecohan.
"Suspek yang tidak berpuas hati kemudiannya mengambil pisau lalu menikam belakang kiri mangsa, perut dan pinggang.
"Mangsa yang parah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian," katanya.
Susulan kejadian itu, polis menahan lima individu termasuk suspek utama berusia antara 24 hingga 27 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini untuk bedah siasat.
|