MOHD Nazri (tiga dari kanan) dan Imran (kiri) menyantuni pelajar membeli-belah barangan kelengkapan persekolahan sumbangan UDA.
Johor Bahru: Peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset, UDA Holdings Berhad (UDA) menyumbang zakat wakalah sebanyak RM60,000 kepada 200 pelajar asnaf dalam bentuk kelengkapan persekolahan.
Menerusi Program UDA Cares: Back to School 2025 @ South, pelajar terpilih dari 10 sekolah sekitar wilayah pembangunan UDA dibawa membeli-belah kelengkapan sekolah bernilai RM300 dan turut diberikan beg sekolah, alat tulis, pensel warna dan bekas minuman.
Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Zahrin Zakaria berkata, program yang dilaksanakan setiap tahun itu adalah sebagai memenuhi keperluan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat selaras dengan peranan mereka dalam membantu meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat khususnya Bumiputera.
"Sumbangan ini diharap dapat memberi semangat dan menceriakan pelajar untuk memulakan sesi persekolahan baharu dengan lebih selesa selain meringankan beban keluarga dalam menyediakan kelengkapan persekolahan," katanya.
Program UDA Cares: Back to School 2025 @ South yang diadakan di Angsana Johor Bahru Mall di sini, kelmarin turut dihadiri Naib Presiden Kanan, Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA, Mohd Nazri Jamiran, Ketua Pegawai Operasi Angsana Johor Bahru Mall, Imran Salleh dan Ketua Pegawai Operasi UDA Land (South) Sdn Bhd, Ismail Dasuki.
Pelajar asnaf terpilih terdiri daripada pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Danga, SK Kompleks UDA, SK UDA 2, SK Kampung Pasir, SK Pengkalan Rinting, SK Tasek Utara, SK Taman Cempaka, SK Seri Kenanga, SK Seri Melati dan SK Perumahan Tampoi 2.
Sebelum ini, menerusi program sama, UDA turut menyumbangkan beg sekolah dan alat tulis kepada 102 pelajar di Sandakan, Sabah, serta 200 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Bahaman, Lanchang, Pahang.
Sementara itu, Guru Besar SK Kompleks UDA, Rafidah Mohd Yussup berkata, program CSR yang dianjurkan UDA itu amat memberi manfaat terutamanya buat keluarga asnaf yang berada dalam golongan B40.
"Bantuan ini sangat membantu keluarga yang memerlukan untuk menyediakan kelengkapan sekolah yang akan dibuka tidak lama lagi, sekali gus membantu meringankan beban keluarga untuk menghadapi Ramadan dalam masa yang sama.
"Sumbangan ini membantu meringankan beban ibu bapa dan sekolah juga untuk pembukaan sekolah. Ini menunjukkan kecaknaan UDA dan usaha ini amat kami hargai," katanya.
Guru Besar SK Sri Kenanga, Souib Hamad pula berharap program CSR seumpana itu dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang.
Pada masa akan datang, mungkin pihak UDA boleh menambah jumlah penerima bantuan supaya lebih ramai pelajar asnaf dapat merasai kegembiraan mendapat kelengkapan sekolah yang baharu," katanya.
|