|
FILEM Kongsi dan Nur Kasih the Movie, kedua-duanya saya tonton dalam panggung wayang di sebuah kompleks beli-belah di Seberang Jaya, Pulau Pinang, minggu lalu.\rFilem Kongsi arahan Farid Kamil ditonton pada hari keenam ditayangkan. Dalam iklan di akhbar yang disiarkan pada hari kelima, kutipan filem dihebahkan sudah memperoleh RM7 juta. Bagaimanapun, berdasarkan data daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), sehingga 19 Mei iaitu selepas seminggu ditayangkan, Kongsi yang dibawa masuk ke panggung pada 12 Mei lalu, mencatat kutipan kasar kira-kira RM6.3 juta. Ertinya, belumlah dapat RM7 juta lagi.\r\n\n\n\n\rMungkin selepas 10 hari ditayang, Kongsi bukan saja boleh mencapai kutipan RM7 juta, tetapi sehingga RM10 juta seperti yang disasarkan penerbitnya. Bagi kita, tidaklah menghairankan, malah bukan juga sesuatu mengejutkan kalau Kongsi boleh dapat lebih RM10 juta menerusi tayangan di panggung saja, iaitu tidak termasuk dengan hasil tayangan menerusi Astro First.\r\r\n\n\n\n\nFilem Kongsi bercerita mengenai gangster atau bahasa mudahnya pasal kumpulan samseng. Memanglah apabila bercerita pasal samseng, pasti ada aksi. Bergasak, tembak- menembak dan kejar-mengejar sesama kumpulan samseng atau dengan polis. Itu lumrah dalam mana-mana filem yang berkisar kepada penjenayah. \rTema filem ini mudah iaitu hukum karma - buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas atau menerima balasan setimpal dengan perbuatan jahatnya. Cuma, Kongsi dipersembahkan secara komedi atau berjenaka. Elemen komedi digabungkan dengan populariti Shaheizy Sam yang sedang panas ketika ini, menjadi resipi paling baik untuk mengajak penonton ke panggung. Tapi kita tidak mengatakan filem Kongsi tidak baik. Kalau tak bagus, kenapa filem ini boleh buat duit sampai RM7 juta dan mungkin lebih.\rSaya menonton Nur Kasih the Movie pada hari pertama ditayangkan, iaitu pada lewat malam juga di Seberang Jaya, Pulau Pinang. Hampir separuh panggung penuh. Tanggapan awal sebelum ke panggung ialah saya kena bersabar kerana Nur Kasih the Movie ialah filem genre drama.\rHari pertama ditayangkan, filem ini dikhabarkan mencatatkan kutipan kasar RM500,000. Mungkin timbul tanggapan Nur Kasih the Movie tidak cukup kuat elemen komersial. Itu persepsi. Kena tengok dulu filem ini sebelum membuat kesimpulan sendiri.\r\n\n\n\n\rFilem genre drama biasanya mempunyai atau menggunakan dialog berjela-jela, atau pelakonnya banyak cakap. Begitu juga babaknya suka meleret-leret dan perjalanan plot ceritanya pula lembap serta merimaskan.\rBagaimanapun, selepas beberapa ketika, saya berasakan filem genre drama arahan Kabir Bhatia tidaklah seperti disangkakan tadi. Filem kalau diikuti dan dihayati babak demi babak, membawa cerita dan makna lebih mendalam. Ia mengetengahkan persoalan mengenai kesabaran dalam mengharungi kehidupan, pentingnya persaudaraan dan kekeluargaan selain persoalan hidup dan mati, persahabatan selain cinta, kasih, kesetiaan dan sayang.\rMemang patutlah penulis skripnya, Mira mengakui kesukarannya untuk menggabungkan dan menghubungkaitkan semua tema ini. Dan, lebih susah lagi bagaimana untuk menjadikan semua itu mudah difahami penonton.\rNamun, sekalipun tidak pernah mengikuti versi drama bersiri, ia tidak menjadi masalah untuk mengikuti rentak cerita Nur Kasih the Movie. Aliran cerita ini seolah-olah mengalir dengan lancar. Tentulah menarik dan tidak dapat bayangkan konflik yang wujud dalam jiwa Aidil (lakonan Fiz Fairuzz) apabila bertemu dan tinggal sebumbung dengan gadis idamannya, Nur Amina (Tiz Zaqyah) yang menjadi isteri kepada adiknya, Adam (Remy Ishak). \rFilem ini juga memperlihatkan ujian getir yang menguji kesetiaan, cinta dan sayang Nur Amina tatkala dia kehilangan Adam. Biarpun sedar Aidil ialah kekasih lamanya, tetapi ketaatan seorang isteri tidak berbelah bahagi sedangkan Adam sendiri sudah menyatakan dan menyedari Nur Aminah boleh hidup gembira dan bahagia dengan Aidil.\rMemang tidak dinafikan Nur Kasih the Movie tidak sempurna, tetap ada kecacatan dan kelemahan terutama pada penggunaan CGI, tetapi sekurang-kurangnya filem ini ada jiwanya tersendiri.\rSelain genre seram dan komedi, kita memang perlu ada filem bercorak drama seperti Nur Kasih the Movie. Filem yang tidak perlu ada babak tengking menengking, tetapi dipersembahkan dengan garapan yang baik dan kemas. \rAntaranya, kurangkan atau elakkan dialog yang panjang dan berjela-jela, biar dialog pendek, tetapi padat dan ada impak serta mudah difahami; tiada babak atau adegan meleret-leret.\rBegitu juga untuk filem dari genre drama, perjalanan plot dan aliran ceritanya juga perlu pantas macam filem aksi kerana penonton tak suka\rmenunggu cerita meleret-leret.\rIni kerana elemen hiburan tetap kena ada kerana orang datang ke panggung hendak menonton filem, bukan ke kelas sivik. Lainlah untuk cerita di TV. - [email protected]
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|