|
Bangga dapat jaga ibu hingga akhir hayatnyaLEBIH dua tahun menyepi, Siti Elizad Saifuddin, 26, mengakui agak kekok tatkala kembali ke dunia hiburan, sekali pun sudah berkecimpung dalam bidang itu sejak 2005 lagi. Barangkali buat individu lain, tempoh sesingkat itu tidak membawa sebarang perubahan, namun seperti orang baru, bintang Berlari Ke Langit ini perlu bertatih semula.\n\n\n\nBukan tidak mengikuti perkembangan industri seni atau melupakan teman seperjuangan, cuma pergerakan agak terbatas kerana mendahulukan kepentingan ibunya, Nazariah Mohd Salleh, 62, yang ketika itu terlantar disebabkan serangan Parkinson.\n\n\n\n\nBaginya, pengorbanan memastikan kebajikan insan tersayang lebih bermakna daripada mengutamakan kepentingan peribadi, malah dirinya puas apabila dapat berbakti kepada ibunya hingga saat Allahyarham menghembuskan nafas terakhir 4 April lalu.“Ketika itu saya berasakan separuh jiwa saya dibawa pergi. Sukar untuk percaya mama tempat saya mengadu nasib, menumpang kasih, membimbing dan melahirkan saya sudah tiada. Saya reda dengan pemergiannya, cuma hubungan kami yang terlalu rapat membuatkan saya berasa cukup kehilangan.“Apa pun sokongan keluarga membuatkan saya bernafas kembali dan saya bersyukur dapat menjaga mama, yang harus dibantu dalam segala segi, apatah lagi pertuturannya juga bermasalah. Pengorbanan ini saya rasakan cukup berbaloi,” kata satu-satunya anak perempuan tunggal daripada lima bersaudara itu dengan mata berkaca.Masih dibuai syahdu tatkala membicarakan kenangan bersama ibunya, akui gadis tinggi lampai ini, pengalaman menjaga orang sakit terutama insan paling bermakna dalam hidup mengajarnya lebih sabar, kuat dan jangan cepat menyerah kalah.\n\n\n\nKata Elizad, dirinya juga tidak menyangka dibekalkan semangat seteguh itu walaupun sesekali air matanya tidak mampu dibendung apabila mengenangkan kembali sifat lembut, kasih sayang serta belaian si ibu ketika dirinya masih sihat. Kadangkala saat sebegitu cukup dirindui.Begitupun, Elizad berkata, dia berjinak-jinak semula dengan drama pada awal tahun ini, juga disebabkan dorongan ibunya yang memberi isyarat memintanya keluar bekerja semula kerana memahami sudah agak lama anak kesayangan itu terperuk di rumah.“Memang setiap hari kami berbual. Walaupun pertuturannya kurang jelas, selain penyakit itu membuatkan arwah asyik mengulang pertanyaan sama, saya senang berkongsi cerita dengan mama. Sesekali mama bertanya kenapa saya masih di rumah.“Mungkin waktu itu arwah sudah berasakan masanya akan tiba dan dia tidak mahu saya terasa kehilangannya. Lalu dia mahu saya sibukkan diri. Sudah rezeki, saya ditawarkan membintangi drama bersiri Cinta Antara Kita untuk TV3, malah mama sempat menontonnya beberapa episod,” katanya tersenyum mengimbas memori lalu.Sifat manja disalah ertiSEBULAN juga dirinya diselubungi kedukaan dan kembali bercuti daripada memenuhi sebarang tawaran berlakon. Namun semangat yang masih berbaki membuatkan aktres peramah itu kembali mewarnai dunia hiburan seperti diimpikan arwah ibu.“Dulu mamalah individu utama yang menggalakkan saya berkecimpung sebagai pelakon. Malah apabila timbul pelbagai gosip kurang enak, arwah sentiasa mengingatkan saya sentiasa bersabar. Katanya jika perkara tidak benar, cerita sebegitu akan lenyap dibawa angin.“Mengingatkan kesungguhan mama, saya yakin arwah merestui perjalanan ini. Bagi saya, tiada dugaan sehebat kehilangan mama. Biarlah saya meminjam semangat mama untuk meneruskan langkah di arena ini. Jika saya mampu menempuhi saat paling tragik ketiadaan insan tersayang, ujian lain insya-Allah mampu saya harungi,” katanya.Pernah digossipkan dengan individu dikenali ramai, katanya pengalaman sebegitu tidak menjadi kudis, malah dia sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kerana memahami anak seni tidak mampu lari daripada perhatian ramai.“Mungkin dulu saya masih terlalu muda dan tidak memahami batas sepatutnya. Dikelilingi empat saudara lelaki membuatkan saya agak manja. Sikap mudah mesra itu juga ada kala disalah erti. Kini saya sudah matang, saya akan pastikan lebih berhati-hati berbicara atau bergaul dengan insan sekeliling,” katanya yang mengakui bukan pemilih.Apa yang pasti peluangnya terus cerah apabila terkini, Elizad dilamar pula membintangi drama bersiri komedi 13 episod, Jamilah... I Love You siaran Astro Ria yang bakal menemui penonton bermula 6 Jun ini. Dia membawakan peranan teman baik kepada watak utama, Jamilah atau Jem.Semakin selesa mengikut rentak arus semasa, hakikatnya jauh di sudut hati berasakan diri terlalu kecil apabila ramai teman seangkatan yang sama-sama menapak dulu sudah semakin stabil. Namun, dia tetap berasakan dirinya bertuah apabila rakan lama turut membantu.“Begitu juga peminat dan rakan media yang tidak putus-putus memberi sokongan. Sebaik melangkah semula, saya tidak mungkin berundur kerana di sinilah rezeki saya,” katanya yang kini lebih selesa dikenali sebagai Elizad Sharifuddin.
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|