|
Tanpa ketegasan orang tua, Awie belum tentu dikenali\rKETIKA masyarakat dunia menyambut hari menghargai pengorbanan seorang bapa, bagi vokalis kumpulan Wings, Awie, sambutan itu sudah tidak lagi bermakna buat dirinya apabila dia kehilangan bapa tercinta, Othman Maarof, 78, yang meninggal dunia akibat sakit tua, Khamis lalu.\r\n\n\n\n\r Bagaikan bait lirik, \"kasihnya ayah sanggupkah berpisah\", itulah dugaan yang terpaksa ditempuh Awie mengenangkan insan yang dianggapnya bapa yang sempurna dalam mendidik anak-anak.\r\r\n\n\n\n\n Bagi Awie, tanpa bapanya masyarakat mungkin tidak akan mengenali dirinya kerana lelaki itu banyak memberikan dorongan dan galakan kepadanya dalam menjadi anak seni.\r“Bagi saya, dia seorang bapa yang cukup asam garam, rempah ratusnya dalam menjadi seorang bapa, malah saya sendiri tidak mampu untuk menjadi bapa sepertinya. Dia seorang yang tegas dalam mendidik anak-anak dan kalau tidak berbuat begitu, mungkin orang tidak mengenali siapa Awie,” katanya.\rBukan saja seorang bapa, malah arwah dianggap seorang guru dalam mendidik anak-anak meskipun tindakan yang dilakukan kadangkala amat memeritkan.\rBiarpun terpaksa berdepan dengan rotan, Awie menganggap itu pengajaran yang berguna baginya dan adik-beradik yang lain.\r\n\n\n\n\r“Saya sangat rapat dengannya dan sejak kecil lagi saya selalu ikut dia ke gelanggang, kerana dia seorang guru seni mempertahankan diri.\r“Saya sudah rasa rotan dan tali pinggangnya, malah bagi saya itu satu pengajaran yang berguna sehingga dikenali sebagai anak seni,” katanya.\rSiapa menyangka, niat Allahyarham untuk pulang ke rumah setelah sebulan terlantar di hospital adalah petanda yang dirinya akan pergi buat selama-lamanya.\rRiak wajah yang semakin menyusut dan sukar untuk menuturkan kata-kata sudah dapat dilihat ketika Allahyarham dibawa pulang.\r“Dia cakap nak balik, nak duduk di anjung rumah, sebab di situ memang tempat dia selalu melepak. Tetapi tak sangka ajalnya tiba di rumah.\r“Sebelum meninggal, dia masih ada perasaan untuk bercakap dan bergerak tetapi kudratnya terhad sehinggakan kalau nak bercakap dia terpaksa berbisik,” kata Awie.\rBelajar silat bukan untuk bergaduh\rMENDIDIK menjadi seorang yang kuat dan pandai mempertahankan diri adalah sifat tegas bapanya dalam mengajar anak-anak. \rMalah, untuk menjadi seorang insan yang berjaya dan berguna, anaknya diajar seni bela diri yang dimilikinya, supaya mereka pandai membawa diri.\r“Dia seorang guru Muay Thai dan silat. Saya turut diajar menguasai seni mempertahan diri, tetapi bukan untuk bergaduh atau menjadi seorang yang kuat.\r“Bagi dia, jangan balik rumah menangis sebab bergaduh, tetapi tahu mengawal dan mempertahan diri sendiri dalam menjadi seorang lelaki,” jelasnya.\rMeskipun tegas, bapanya masih mempunyai ciri-ciri seorang yang penyayang dan bertanggungjawab terhadap anak-anak, bahkan sering memberi galakan kepada mereka dalam memilih karier sendiri.\rNamun, segala pengajaran dan didikan yang ditinggalkan kini menjadi memori buat Awie dan adik-beradiknya yang lain. Malah bagi Awie, bapanya sudah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa dengan sebaik mungkin.\rAllahyarham Othman disahkan meninggal dunia jam 12.10 tengah malam, Khamis lalu di sisi isteri, Azizah Abdul Hamid serta empat anaknya di rumahnya di Kampung Cheras Baru dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cheras Baru, Cheras, Selangor.
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|