|
Telefilem penghargaan buat P Ramlee September ini\rCINTA terhalang akibat perbezaan darjat kerap diangkat menunjangi sesuatu penerbitan, namun menerusi Pelamin Di Pusara, garapan kisah tragik itu diolah penuh dramatik hasil sentuhan Murali Abdullah.\r\n\n\n\n\rTelefilem yang bakal mengisi slot khas Tribute To P Ramlee di TV2 bersama sembilan telefilem lain bakal menemui khalayak bermula September ini di bawah terbitan Suhan Movies Production Sdn Bhd.\r\r\n\n\n\n\nSinonim bersama kisah menyentuh perasaan, Pengarah Drama Terbaik Anugerah Skrin 2010 itu mengakui penerbitan yang bagus memerlukan kombinasi mantap bermula daripada skrip, malah dia bertuah berpeluang berganding bahu dengan Mazlan Manan selaku penulis.\r“Mazlan Manan sememangnya dikenali dengan skrip yang padat dan sarat emosi, malah untuk drama ini olahan dialog juga cukup cantik. Sebaik saja mendapat naskhah Pelamin Di Pusara, saya sendiri teruja tatkala membaca setiap baris ayat.\r“Belum pernah saya menemui skrip sekemas ini hingga tiada sebarang perubahan perlu dilakukan. Boleh saya katakan, kekuatan awal terletak pada skrip ini selain keserasian barisan pelakon serta kesungguhan kru belakang tabir.\r“Paling istimewa ialah caranya mengembangkan setiap karakter serta babak. Tidak melompat-lompat serta elok tersusun,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran telefilem terbabit di Batu 13 Puchong.\r\n\n\n\n\rIa menyaksikan gandingan Shahz Jaszle bersama Raja Farah sebagai teraju utama, dengan disokong Diana Johor, Khairil Anwar, Nanu Badaruddin, Rashidah Jaafar serta Liza Abdullah.\rBerkisar mengenai jejaka dari keluarga berada, Zamarul (Shahz) yang ditunangkan dengan anak rakan niaga ayahnya, Suraya (Diana) jatuh cinta kepada gadis kampung bernama Maisara (Raja Farah) hingga mahu memutuskan pertunangan.\rTanpa memaklumkan sudah punya ikatan hubungan mereka berlangsung tanpa masalah, namun sebaik tunangnya mengetahui perkara itu, ibu bapa Zamarul terus bertemu sendiri Maisara supaya memutuskan cinta mereka.\rKecewa kerana berasakan diri dipermainkan membuatkan gadis naif itu tidak mempercayai pengakuan kekasihnya yang bertegas mengatakan dia dipaksa bertunang dengan gadis bukan pilihan hati.\rDisebabkan dendam apabila bakal suaminya meletak hati terhadap gadis lain, Suraya meneruskan niat jahat menghapuskan Maisara yang dirasakan menjadi perampas kebahagiaannya.\rTakdir Ilahi melebihi segala-galanya apabila Zamarul dan kekasihnya menemui ajal bersama dek dendam kesumat Suraya yang sememang berusaha memasang perangkap untuk membunuh Maisara.\rPuji lakonan Shahz Jaszle\rAKUI Murali, kebebasan yang diberikan sepenuhnya Suhan Movies merencanakan telefilem ini membolehkannya membuat pemilihan dari A hingga Z demi memastikan hasil akhir berada pada tahap terbaik.\r“Apabila bekerja kita perlukan pasukan yang serasi dan kali ini saya mendapat peluang seperti ini. Sudah pasti kepercayaan yang diberikan Rosyam Nor selaku penerbit tidak akan saya persiakan. \r“Contohnya, saya pilih Shahz Jaszle kerana yakin terhadap bakatnya dan nyata sepanjang penggambaran dia ‘memberi’, malah dia boleh melangkah jauh melihatkan disiplin dan kesungguhan aktor berkenaan,” katanya lagi yang turut menggunakan khidmat Indra Che Muda selaku jurukamera.\rTambahnya, tempoh 10 hari diberikan syarikat berkenaan untuk menyiapkan produk berbanding lapan hari juga antara kelonggaran yang dinantikan setiap sutradara untuk mendapatkan syot lebih baik.\r“Hari ini sudah masuk hari keempat penggambaran. Setakat ini segala-galanya berlangsung seperti diharapkan namun telefilem ini sebenarnya secara peribadi cabaran besar buat diri saya apabila dipertanggungjawabkan menghasilkan karya penghargaan buat tokoh seni idola saya.\r“Saya memang belum pernah bekerja dengan Suhan Movies dan apabila Rosyam mengajukan tawaran ini kira-kira dua bulan lalu, perasaan saya bercampur baur, teruja dan pada masa sama berdebar.\r“Sudah pasti saya mahu ia lebih bagus daripada buah tangan terdahulu, membuatkan saya lebih teliti dan cerewet daripada segala sudut terutama syot serta mainan emosi pelakon kerana mahukan kesempurnaan,” katanya yang mengakui mula meminati Seniman Agung itu sejak di bangku sekolah menengah.\rMengenai slot dedikasi buat P Ramlee, ia direalisasikan syarikat Rosyam dan stesen RTM sebagai tanda penghargaan buat insan seni terulung yang berjasa kepada industri hiburan tempatan, sekali gus mengetengahkan lagu hebat insan istimewa itu untuk diingati generasi baru dan lama. \rMurali antara 10 pengarah yang diamanahkan menghasilkan 10 telefilem daripada judul lagu P Ramlee manakala Pelamin Di Pusara diilhamkan daripada lagu Uda dan Dara.\rSutradara lain ialah Bade Azmi, Aziz M Osman, Ismail Yaakob, Amy Maziah, Along Kamaludin, Michael Ang, Osman Ali, Rashid Sibir, selain Erma Fatima.
[Posting Asal] [Kembali ke Berita Rakyat] [Pump!]
|
|