|
CAK dengar cerita walaupun lagu ciptaan seorang anggota polis dari Singapura itu, Trilogi Cinta Tiga Segi yang dirakamkan kumpulan Kristal dan Saleem Iklim, sangat popular di kalangan pendengar, malangnya sampai sekarang dia tidak dapat royalti.
Menurut rakan CAK, dalam keadaan yang dia tidak tahu sangat mengenai industri, terutama cara mana hendak menuntut royalti itu, dia dipertemukan dengan seorang penggiat seni yang kononnya dapat membantu.
Penggiat seni itu beritahu anggota polis itu, dia perlu ada 20 lagu atau lebih, baru boleh mendaftar dengan Perlindungan Hak Cipta Karya Muzik Malaysia (MACP).
Itu katanya, tetapi setahu CAK, tak perlu sampai 20 lagu pun. Dek kerana itu, anggota polis itu pun menandatangani perjanjian dengan penggiat seni itu untuk mewakilinya mendapatkan royalti itu.
Setahun sudah berlalu tetapi anggota polis itu tak dapat sesen pun. Menurut syarikat yang menerbitkan album Saleem, mereka bersedia membayar royalti kepada anggota polis itu tetapi tiada siapa datang membuat tuntutan.
Jika benar penggiat seni itu mewakili anggota polis berkenaan, dia boleh kemukakan dokumen kepada syarikat MACP untuk mendapat royalti lagu itu.
Keadaan ini selalu terjadi pada artis atau pelakon baru, yang sewenang-wenangnya tandatangan kontrak tanpa membaca isi dokumen dengan teliti.
Oleh kerana kasihankan anggota polis itu, pihak syarikat rakaman Saleem berusaha mencarinya. -HM- |
|