|
Gaddafi, anak dipercayai bersembunyi di bandar padang pasir: Kenshil\rBANI WALID: Pertempuran hebat berlaku di sini semalam ketika pejuang rejim baru menyerang bandar padang pasir di mana salah seorang anak lelaki Muammar Gaddafi Seif al-Islam, dipercayai bersembunyi, kemungkinan bersama bapanya, kata pemerintah Libya.\r\n\n\n\n\r “Pejuang revolusi mara ke Bani Walid pagi ini dan bertempur dengan hebat,” kata seorang pegawai kanan dalam Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Abdullah Kenshil, kepada AFP.\r\r\n\n\n\n\n Kenshil berkata, pertempuran dengan tentera upahan Gaddafi untuk menguasai bandar ini, satu daripada beberapa kubu pemimpin diktator itu di tenggara Tripoli, “sedang berlaku dan mungkin dapat diselesaikan dalam dua hari lagi.”\rPegawai NTC berkata, Seif al-Islam, anak lelaki paling berpengaruh pemimpin Libya yang digulingkan itu, dilihat di sini dan ada kemungkinan bapanya juga berada di bandar padang pasir itu.\r“Seif al-Islam dilihat di Bani Walid, ia hampir 100 peratus pasti, manakala bapanya, berada di sana juga; kami 70 peratus pasti,” kata Kenshil kepada AFP, menambah mereka hanya dipertahankan tentera upahan.\r“Mereka yang berjuang di Bani Walid tidak semestinya briged Gaddafi, yang mana anggotanya menyertai tentera NTC,” kata Kenshil, menambah “ada tentera upahan dari Chad, Niger dan Togo, menurut mayat yang kami temui.”\r\n\n\n\n\rGaddafi, anak lelakinya Seif al-Islam dan ketua perisikan Abdullah al-Senussi masih bebas sejak pemberontak menguasai Tripoli 23 Ogos lalu. Mereka dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan jenayah ke atas kemanusiaan.\rKelmarin, tentera NTC diserang selepas mara ke bandar ini. Anggota media melaporkan mereka mendengar letupan kuat dan tembakan bertalu-talu dari dalam \rbandar dan roket meletup berhampiran kedudukan NTC di pinggirnya.\r“Kami berundur kerana diserang dengan bom bertalu-talu oleh tentera yang setia dengan Gaddafi di kedudukan kami,” kata Kenshil, menambah rundingan sedang dilakukan untuk perpindahan kira-kira 50,000 orang awam di bandar itu.\rTentera pro-NTC turut meneruskan perjuangan mereka ke Sirte tengah hari semalam selepas berkumpul semalaman, kata seorang koresponden AFP yang menyertai tentera NTC di timur bandar ini di pantai tengah Mediterranean Libya. – AFP
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|