|
Membawa anak-anak penutup Konsert FenomenaPENUTUP Konsert Fenomena 30 Tahun Search di Stadium Negeri Sarawak, Kuching pada Sabtu lalu memang unik dan meninggalkan detik memori cukup manis apabila semua anggota kumpulan rock lagenda ini membawa anak masing-masing ke pentas. Diadakan pada 31 Disember, konsert ini diibarat sebahagian daripada acara sambutan Tahun Baru 2012 di Kuching. \n\n\n\nBiarpun berjiwa rock, tapi naluri seorang bapa pada setiap anggota kumpulan ini cukup terserlah. Vokalis, Amy tidak segan silu mendukung anaknya Alexander sambil menyanyikan lagu Fantasia Bulan Madu. \n\n\n\n\nMalahan semua anak-anak anggota Search ini juga turut melontarkan cenderamata istimewa daripada atas pentas kepada penonton seperti bola, poster dan juga kayu pengetuk drama bertulis Konsert Fenomena 30 Tahun Search. Sememangnya alunan lagu Fantasia Bulan Madu yang berentak balada ini benar-benar membuatkan peminat, penonton dan anggota Search - Amy, Nasir, Yazit, Din dan Kid - berada dalam alam fantasi masing-masing. Entah bila akan kembali membuat persembahan di Kuching, tidak dapat dipastikan tetapi mereka optimis ia bukanlah yang terakhir beraksi di Sarawak. Kemunculan anak-anak anggota Search ini memang mengejutkan penonton. Jarang sekali ia dilakukan oleh mana-mana penyanyi, sama ada solo atau berkumpulan. Namun melihat kepada anak-anak anggota Search yang kebanyakannya sudah remaja dan dewasa, membuktikan betapa lama mereka berada dalam persada muzik dengan membawa aliran rock. Selama tiga dekad juga, tidak banyak berubah pada barisan anggotanya. Keluar dan masuk, masih orang yang sama. \n\n\nKonsert di Sarawak adalah seminggu selepas mereka beraksi di Tawau, Sabah. Sebelum itu, Search menerusi Konsert Fenomena 30 Tahun menjelajah ke Pulau Pinang, Johor Bahru, Melaka dan Kuala Lumpur. Cuaca yang agak baik di Kuching melancarkan konsert ini. Kumpulan rock tempatan, Masterpiece dan penyanyi muda berbakat dari Kuching, Batrisiya Bakhtiar membuka tirai konsert ini yang bermula kira-kira jam 8.30 malam. Hampir satu selepas itu, Search muncul dengan Amy menyanyikan lagu Panggung Khayalan dan Gothic Malam Edan dan Fenomena. Bahang semakin panas, peluh mula menitik apabila lagu berentak rock n roll seperti Serigala Segalanya, Balada Pemuzik Jalanan serta Hongky Tong Kosong di mainkan dan dinyanyikan oleh Amy.Selepas segmen ini selesai, Amy ke tepi pentas untuk meneguk air, mengambil nafas, mengusap peluh dan mengumpulkan tenaga. Dan, apabila Firdaus memulakan intro lagu Isabella, suasana mula menjadi meriah. Ternyata lagu Isabella memang lagu wajib dinyanyikan oleh Search dalam setiap persembahannya.Amy seolah-olah tidak perlu menyanyi apabila peminat beramai-ramai menyanyikan lagu Isabella dengan penuh bersemangat. Cukup jelas ia adalah lagu yang pasti menjadi malar segar sepanjang masa. Search meneruskan persembahan dengan menyanyikan 11 lagu dalam pelbagai rentak daripada rock n roll kepada Balada rock. Sebaik saja menyanyikan Isabella, anggota Search terutama Amy dan Yazit, anggota Search paling tua terus menampilkan persembahan penuh bertenaga.Tenaga mereka macam orang muda. Malahan Amy juga tidak menunjukkan tanda-tanda keletihan. Bahkan dia tidak menghadapi masalah untuk menghafaz setiap lirik lagu yang dinyanyikannya. Dengan beraksi penuh bertenaga, Amy dan rakan-rakannya menyampaikan lagu Melastik Ke Bintang, cakap Memang Mudah, Rozana, Bisa, Laila Namamu Di Atas, Kejora, Gadisku, Isi Dan Kulit, Langit Dan Bumi dan Menara Kesesatan. Sekali lagu lagu Rozana, Bisa dan Gadisku selain Isi Dan Kulit menjadi ikutan setiap peminat apabila mereka turut menyanyi beramai-ramai. Segmen ketiga pula agak menarik apabila dimulakan dengan persembahan secara solo oleh Din dan Kid. Kedua-kedua saling mempamerkan kehandalan bermakna gitar sebelum Amy mengambil kedudukannya di pentas untuk menyanyikan lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur.Seterusnya, Amy menyanyikan lagu Tiada Lagi yang pernah dipopularkan oleh Mayank Sari diikuti dengan Pelesit Kota. Nasir kemudian mengambil giliran untuk membuat persembahan intro untuk lagu yang memang ditunggu oleh peminat, Pawana.Konsert Jelajah Fenomena Search diakhiri dengan lagu Balada rock yang boleh meninggalkan kenangan indah kepada peminat kumpulan ini apabila Amy menyanyikan Fantasia bulan Madu.Lega, puas hati dan banggaDalam sidang medianya selepas konsert selesai, Amy dan rakan-rakannya lega serta berpuas hati kerana Konsert Fenomena 30 Tahun Search berjalan lancar selain mendapat sambutan membanggakan. Ini sekali gus membuktikan setiap kali Search membuat persembahan, mereka mempunyai penyokong dan peminat tersendiri, malahan daripada pelbagai generasi serta peringkat umur. Macam-macam cabaran dihadapi oleh Search sepanjang konsert ini diadakan. Satu daripada cabaran getir mereka ialah berdepan dengan cuaca. Oleh kerana jadual konsert diadakan pada hujung tahun iaitu biasanya musim hujan, ia sedikit sebanyak memang mencemaskan mereka.Melihat cuaca mendung dan gelap, hujan renyai yang tidak berhenti menggusarkan mereka. Khuatir ia boleh menjejaskan kehadiran penonton untuk menyaksikan konsert fenomena Search. “Tapi kami bersyukur kerana konsert ini dapat dijalankan dengan lancar. Ia satu jelajah yang panjang juga dan meletihkan tetapi syukur kami dapat menghabiskan dengan sempurna,” kata Amy. Sokongan daripada penaja juga turut memainkan peranan penting sehingga konsert ini menjadi kenyataan. Tanpa pembabitan syarikat korporat atau firma gergasi sebagai penaja utama, imej Search tetap menonjol. Tidak kurang 10,000 penonton hadir menyaksikan konsert mereka. Sementara itu, bagi mereka yang tidak berpeluang menyaksikan Konsert Fenomena 30 Tahun Search, peminat kumpulan ini boleh menontonnya menerusi rakaman dalam bentuk VCD dan DVD. Diterbitkan oleh Nova Music, penerbit dan pengarah urusan syarikat itu, Rosmin Hashim berkata, DVD dan VCD Konsert Fenomena dijangka berada di pasaran pada Februari depan. Menurutnya, ketika ini pihaknya sedang mengenal pasti sama ada mahu menerbitkan konsert Search di Tawau, Sabah atau Kuching, tertakluk kepada hasil penyuntingan dan faktor lain.“Ia mengambil sedikit masa. Sebaik saja konsert ini tamat, kami terus membuat proses penyuntingan. Daripada situ, kami akan memilih mana satu yang terbaik untuk diterbitkan dalam DVD, sama ada Kuching atau Tawau. Atau mungkin kedua-duanya,” katanya.
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|