View: 1402|Reply: 0
|
Pupur kekal ciri tradisi
[Copy link]
|
|
Tidak sukar untuk tampil cantik tapi tidak mudah pula untuk mengekalkannya. Sejak berkurun lamanya manusia sentiasa mencari bahan yang boleh mengekalkan keremajaan serta kecantikan wajah dan tubuh biarpun kadang­kala kaedah atau teknik yang digunakan tidak ma­suk akal.
Masyarakat Asia, khususnya golongan wanita di China, Jepun dan Mesir mempunyai sejarah yang panjang membabitkan amalan kecantikan. Selain haruman dan sabun, pupur wajah dikenal pasti antara rutin kosmetik utama bagi wanita di negara itu sejak 6,000 tahun lalu.
Dikatakan bahawa Cleopatra menyapu putih telur di wajahnya sejurus bangun tidur. Ratu Mesir itu percaya lapisan nipis terhasil daripada putih telur yang kering itu dapat menjadikan kulit wajahnya lebih halus dan cerah, selain tampak lebih muda.
Cleopatra juga terkenal kerana cintanya pada ekstrak lidah buaya yang dijadikan sebagai topeng muka malah dikatakan sering tidur dengan memakai pupur emas di wajahnya.
Rutin yang dilakukan­nya hampir setiap hari itulah dikatakan antara penggerak kepada teknik pupur yang kini popular dalam kalangan masyarakat dunia.
Yang Guifei daripada Dinasti Tang pula amat dikenali kerana kegemarannya menjaga kecantikan diri. Selain mengutamakan penjagaan keseluruhan tubuh, puteri China itu mengamal­kan penggunaan pupur yang dibuat khas.
Pupur itu bagaimanapun tidak sukar disediakan. Pakar sejarah mendapati ia menggunakan batu jed putih, mutiara dan ginseng yang dihancurkan sehingga menjadi serbuk lalu dicampurkan bersama kanji akar teratai.
Campuran unik ini disapukan ke seluruh wajah, ditutup dengan lapisan kain nipis berbentuk wajah dan dibiarkan setengah hari.
Kaedah kecantikan ini dikatakan dapat membantu memutihkan kulit wajah dan mengurangkan tanda cela atau garisan halus.
Sesetengah golongan bangsawan juga dipercayai mengamalkan penggunaan pupur lumpur yang dicampur dengan beberapa bahan lain seperti madu, buah-buahan dan minyak pati.
Dalam kepesatan teknologi hari ini, banyak pupur boleh didapati di pasaran tanpa perlu bersusah payah menghasilkannya sendiri. Biarpun dijana kaedah perubatan moden dan teknologi kecantikan, pupur zaman ini masih mengekalkan ciri tradisi dengan menggabung­kan bahan semula jadi bersama produk kimia seperti ekstrak vitamin.
Justeru, apa signifikan­nya pupur atau topeng wajah ini dalam rutin harian setiap wanita? Pupur muka jarang digunakan sebagai produk sendirian dalam rutin kecantikan wanita.
Bagaimanapun, topeng muka boleh menjadi elemen penting dalam pembersihan menyeluruh kulit muka sebagai persediaan untuk rawatan kulit yang lain.
Sebagai contoh, pupur boleh digunakan untuk membersih dan menyegarkan kulit sebelum bersolek. Pupur juga boleh digunakan untuk tujuan kesihatan serta perubatan seperti menenangkan kulit yang kemerahan dek selaran matahari, kesan pencemaran serta terdedah kepada cuaca ekstrem.
Dengan mengetahui pelbagai jenis pupur muka serta cara penggunaannya, ia boleh memberi impak dan hasil lebih baik dalam proses penjagaan kulit harian.
Prinsip rawatan penjagaan kulit dengan pupur
Prinsip pemakaian satu topeng muka atau pupur tunggal produk adalah untuk tempoh singkat meliputi keseluruhan wajah agar dapat memisahkan udara dan pencemaran daripada kulit buat sementara waktu.
Rutin penjagaan wajah ini dapat membantu menyeimbangkan suhu kulit pada zon wajah, membuka liang roma untuk memudahkan pembersihan pori tersumbat, meningkatkan tahap metabolisme sel kulit dan menggalakkan rembesan kelenjar peluh agar ia dapat meningkatkan lagi kandungan oksigen pada kulit.
Pada masa sama, berpupur juga membantu perkumuhan sel epidermis yang mati, menyingkirkan bua­ngan metabolik dan bahan berminyak dari kulit yang menjadi penyebab kepada liang roma tersumbat hingga menjadi habitat bagi bakteria buruk.
Kandungan air yang ting­gi dalam pupur atau topeng muka pula akan menembusi lapisan epidermis kulit, sekali gus membantu melembutkan tekstur dan meningkatkan tahap keanjalannya.
Jenis pupur
Lumpur
Penggunaan lumpur dalam produk rawatan kulit bermula sejak zaman Yunani dan Rom purba. Ma­syarakat zaman itu dikatakan mandi dalam lumpur dan menyapunya ke seluruh muka sebagai salah satu rawatan untuk kulit bermasalah.
Topeng muka jenis lumpur ini kaya dengan mineral yang boleh bertindak sebagai antiradang, penentang bakteria dan membuang bahan berminyak serta menghalang jerawat.
Ia juga boleh membuat­kan liang pori mengecil, selain mineral membantu kulit mendapatkan nutrisi yang diperlukan.
Krim
Sasarannya untuk melembapkan kulit. Kulit yang mengalami masalah kekeringan paling sesuai menggunakan pupur jenis ini kerana biasanya ia menggunakan minyak sebagai bahan asas.
Pupur muka jenis krim ini bagaimanapun memerlukan bantuan daripada beberapa bahan lain agar dapat menyerap dan mengunci air dalam kulit.
Komposisinya digabung­kan dengan bahan bermi­nyak untuk penyerapan lebih mudah. Prinsip penggunaan topeng muka jenis krim ini sama seperti menggunakan krim harian cuma ia mempunyai molekul lebih besar untuk kelembapan berpanjangan.
Jeli
Jika dinilai pada penampilannya, pupur jenis jeli atau agar-agar ini sering jadi pilihan kerana warnanya yang jernih dan meninggal­kan haruman buah-buahan.
Pupur jenis ini sesuai untuk melegakan kulit selepas terdedah lama di bawah terik matahari. Ia memberikan rasa dingin dan selesa sejurus disapu pada kulit dan meninggalkan kesan segar selepas dicuci.
Topeng (kertas atau kerajang)
Antara kelebihan pupur jenis ini ialah liputannya yang lebih besar. Esen pupur yang tersedia pada topengnya memudahkan penggunaan dan boleh digunakan di mana saja tanpa bimbang meninggal­kan kesan kotoran pada pakaian atau tempat duduk.
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Wanita & Lelaki
|