CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1654|Reply: 0

Bau badan bukan perkara remeh

[Copy link]
Post time 10-3-2013 08:14 AM | Show all posts |Read mode
Entah di mana silapnya, biarpun berpenampilan menarik, berwajah ayu dan mempunyai kerjaya stabil hingga kini, Saleha belum mempunyai teman lelaki.


  Bukan dirinya tidak pernah berusaha, malah ibu bapanya juga puas berikhtiar, namun jodohnya ‘liat’. Tidak cukup dengan itu, rakan serta ahli keluarga lain turut sama mencarikan jodoh buatnya, namun masih belum berjaya.

  Siapa tidak risau, memasuki usia lewat 20-an, Saleha masih belum berteman, sedangkan rakannya sudah beranak pinak. Puas berikhtiar, akhirnya Saleha menemui pakar dermatologi sebagai langkah terakhir selepas usahanya menggunakan kaedah tradisional tidak berhasil.


  Hasil rundingan itu, baru Saleha tahu mengenai masalah sebenar dirinya. Saleha mempunyai masalah bau badan yang melampau hingga menyebabkan orang ramai sukar mendekatinya.

  Kini, dia mula percaya apa diperkatakan rakannya selama ini. Saleha mempunyai bau badan yang kurang menyenangkan, menyebabkan pergaulan sosialnya terbatas.

  Sejak itu, Saleha sedaya upaya berusaha mengurangkan bau badan. Selain manfaat untuk dirinya, dia mahu mencari jodoh dan segera berkahwin. Hakikatnya, bau badan boleh dialami oleh semua individu.


Mampu menyebabkan hilang keyakinan diri selain membataskan kegiatan sosial.



  Perunding Dermatologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr Guru Ratnavelu berkata, bau badan berpunca daripada bahan buangan terkumpul dalam badan akibat proses pencernaan yang tidak sempurna.

  Dalam pengambilan pelbagai jenis makanan, majoritinya digunakan untuk tubuh manakala selebihnya ditukar ke dalam bentuk sisa buangan atau toksin. Toksin ini mudah disingkirkan jika ginjal, hati dan saluran penghadaman usus berfungsi dengan baik.

  “Bau badan dicipta oleh hormon yang dipanggil pheromones tetapi jika dibiarkan, hormon semula jadi ini akan mengeluarkan bau lebih kuat apabila kelenjar peluh atau apocrine mula dijangkiti bakteria.

  “Selalunya masalah ini dialami mereka yang menjangkau usia akil baligh atau peringkat remaja kerana mengalami perubahan hormon dan menjalani gaya hidup sihat,” katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu di Kuala Lumpur, baru- baru ini.

  Dalam kalangan kanak- kanak, bau badan kerap dikaitkan sebagai penanda tahap kematangannya. Misalnya, remaja perempuan mula mengalami masalah badan berbau pada usia 14 hingga 16 tahun, manakala remaja lelaki dari 15 hingga 17 tahun.

  Bagi yang obes atau terlalu gemuk pula, kerap mengambil makanan pedas dan memakan ubat khusus (seperti pesakit diabetes), mereka lebih berisiko berdepan masalah bau badan.

  Bau badan juga dipengaruhi oleh diet, mood, tahap hormon, jantina, tahap kesihatan, ubat-ubatan yang diambil dan bagi sesetengah orang, genetik juga memainkan peranan.

  Menurutnya, setiap individu ada bau badan yang terhasil daripada peluh. Peluh adalah sebahagian daripada proses semula jadi dalam tubuh badan manusia.

  Selain itu faktor genetik, penyakit kencing manis, tiroid, masalah ginjal dan hati juga antara penyumbang kepada bau badan.

  “Dalam tubuh badan manusia ada dua jenis kelenjar yang menghasilkan peluh iaitu kelenjar eccrine dan apocrine. Kelenjar eccrine bertanggung jawab terhadap proses berpeluh, yang mana ia bersambung terus hingga permukaan kulit untuk menghasilkan peluh serta bertujuan mengawal suhu badan, selain membuang bahan buangan seperti urea, sodium, kalsium atau elektrolit.

  “Manakala kelenjar apocrine pula merembeskan cecair yang lebih likat dan keruh serta menimbulkan masalah jika kuantitinya lebih banyak daripada kelenjar eccrine.

  “Kelenjar ini berada pada bahagian tubuh yang banyak folikel rambut seperti ketiak dan tempat sulit. Ia mengandungi sebum bahan berlemak iaitu peluh dirembeskan. Sebum pula bahan organik yang tersimpan dalam kelenjar apocrine,” katanya.

  Menurutnya, faktor pemakanan juga antara yang menyumbang ke arah bau badan. Antaranya rempah ratus dan bawang putih, selain banyak minum kopi atau minuman berkafein yang berpotensi menyebabkan bau pada ketiak, sama ada lelaki atau perempuan.

  “Bagi mengelak perkara ini berlarutan, paling penting jaga kebersihan dan makan. Mandi dua kali sehari antara perkara mudah yang biasa dilakukan. Elakkan juga mengambil makanan mengandungi rempah ratus terlalu kuat.

  “Selain itu, cukur rerambut halus yang tumbuh seperti di bahagian kemaluan serta ketiak apabila tiba waktunya. Pemakaian deodoran mengandungi bahan antiseptik juga antara yang banyak membantu meskipun bukan jaminan 100 peratus,” katanya.

  Tambahnya, masalah bau badan juga mungkin dianggap ringan bagi sesetengah individu yang kurang peka. Hakikatnya, masalah ini mampu menjadi besar jika tidak dibendung segera.

  “Tidak kira sama ada lelaki atau wanita, kebersihan aspek terpenting yang perlu dititikberatkan. Jangan ambil mudah perkara ini kerana apabila berlarutan, ia mampu menyebabkan hilang keyakinan diri dan malu, selain membataskan kegiatan sosial.

  “Paling ditakuti, bau badan juga mampu memberi impak terhadap kehidupan peribadi. Misalnya, sukar mencari jodoh atau bagi pasangan berkahwin, ia mampu menjejaskan hubungan suami isteri,” katanya yang menasihati orang ramai supaya memberi perhatian terhadap kebersihan diri.

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-11-2024 04:57 PM GMT+8 , Processed in 0.309540 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list