Wajah nan manis dan ayu, tingkah laku yang sopan, bisikan suara yang lembut serta lenggok jalan yang lemah gemalai memperlihatkan keanggunan wanita yang pastinya menjadi pujaan ramai lelaki. Namun, jangan tersalah sangka kerana wanita itu dilatih dengan ilmu mempertahankan diri yang memenuhi syarat sebagai pengawal peribadi VIP.
Zanariah Zainal Abidin yang mesra disapa Anna kini mencapai tahap ketiga dalam Kursus Pengiring Orang Kenamaan.
Dia yang berasal dari Kuantan, Pahang menempa pengalaman selama tiga tahun mengiringi isteri serta anak VIP.
Mengimbau pembabitannya dalam dunia pengawal peribadi, katanya seorang rakan meminta dia mengiringi isteri dan anaknya ke satu keramaian.
Kemudian, dia mengorak langkah dengan lebih profesional apabila mengikuti secara khusus latihan diperkenalkan CPPTS.
“Saya mempunyai hubungan baik dengan mereka yang terbabit dengan dunia hiburan, maka saya sering diminta mengiringi selebriti pada masa tertentu.
“Bila bertugas dengan selebriti, risikonya kecil kerana tidak memerlukan kekerasan atau penggunaan senjata.
“Ia cuma gangguan kecil daripada peminat yang ingin mendekati artis pujaan mereka.
“Saya berharap dapat menamatkan kursus tahap 4 bagi membolehkan menjadi pengawal peribadi lebih baik,” katanya.
Bagi Nor Faradia Nazaruddin, 24, dia mengikuti latihan di CPPTS sejak 2010.
“Pengalaman pertama agak mencabar sewaktu mengiringi ahli perniagaan VIP terbabit.
“Walaupun tiada situasi cemas, saya sentiasa berwaspada kerana malang tidak berbau,” kata gadis dari Sentul, Kuala Lumpur itu.
Dia meminati kerjaya lasak sejak kecil dan mendapat dorongan ayah dan keluarga yang lain.
“Walaupun belum menghadapi situasi cemas dan mendebarkan, pengawal peribadi harus sentiasa berwaspada dan bersedia.
“Wanita yang berminat dengan kerjaya ini jangan takut atau malu kerana walaupun mempunyai risiko, ia memberi kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata,” katanya.
Bagi Nurul Ashikin Sabarudin, 27, dia disahkan menghadapi masalah asma sejak kecil, tetapi ia tidak menghalang minatnya menyertai CPPTS.
“Selepas menerima latihan Kursus Pengiring Orang Kenamaan, saya lebih yakin dan bersemangat.
“Saya pernah mengalami pengalaman dihimpit lelaki pertengahan umur di dalam komuter.
“Lelaki itu turun di stesen Mid Valley lalu saya kejar dan memarahinya supaya tidak mengulangi perbuatan itu terhadap wanita,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CPPTS, Mahathir Manan berkata, setakat ini pihaknya melatih 40 wanita daripada pelbagai agensi kerajaan.
Beliau berkata, ramai golongan VIP yang berminat mengambil pengawal peribadi wanita, tetapi kekurangan mereka menyebabkan ia sukar dipenuhi.
“Pelatih wanita turut menjalani latihan yang sama seperti lelaki termasuk penggunaan senjata api.
“Banyak VIP lebih selesa dengan pengawal peribadi wanita kerana mereka mahir dalam pelbagai tugas termasuk menjaga keselamatan anak-anak majikan,” katanya.
|