View: 2116|Reply: 0
|
Perak semangat hadapi Piala Malaysia
[Copy link]
|
|
TEMPOH rehat panjang selepas berakhirnya saingan Liga Super disifatkan sebagai rahmat buat jurulatih Perak, Mohd Azraai Khor Abdullah yang menyaksikan skuadnya kembali berada pada tahap kecergasan terbaik menjelang kempen Piala Malaysia yang akan bermula 20 Ogos depan.
Menurut Azraai, tempoh rehat panjang ini memberikan manfaat buat pasukan dengan ia memberikan kesempatan buat pemain untuk pulih daripada kecederaan.
“Setakat ini persiapan berjalan dengan lancar. Setiap pemain juga semakin bersemangat dan saya harap perwatakan mantap ditunjuk pada penghujung liga dijelmakan sekali lagi dalam saingan Piala Malaysia.
“Fokus juga diberikan terhadap memantapkan kekuatan pasukan dan mengurangkan sebarang kelemahan bagi memastikan persembahan baik dapat dipamerkan,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Azraai yang mempunyai nostalgia cemerlang dalam trofi Piala Malaysia bersama Kedah dan Negeri Sembilan turut berharap dapat melakukan sentuhan magis bersama Seladang pula.
“Jika pemain mampu melaksanakan perancangan dengan berkesan, saya yakin Perak mampu ke final.
“Sekarang kami sudah sedia menghadapi kempen Piala Malaysia cuma perlu mantapkan persefahaman pasukan antara pemain utama dan simpanan,” ujarnya yang mempunyai banyak pilihan berikutan pendedahan diberikan kepada lapan pemain Piala Presiden ketika Liga Super lalu.
“Saya tidak bimbang jika menghadapi masalah kecederaan atau penggantungan kerana mempunyai khidmat lapan pemain muda yang sudah diberi pendedahan secukupnya,” jelas beliau.
Empat perlawanan awal peringkat kumpulan Piala Malaysia dijadual pada 20, 24, 27 dan 31 Ogos sebelum saingan berehat dua minggu untuk memberi laluan kepada Pestabola Merdeka dari 4 hingga 15 September ini.
Dua baki perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia kemudian disambung pada 17 dan 21 September disusuli aksi suku akhir pada 28 September dan 4 Oktober.
Saingan berehat sekali lagi dua minggu memberi laluan skuad kebangsaan menghadapi perlawanan pusingan Kelayakan Piala Asia 2015 bertemu Bahrain pada 15 Oktober sebelum disudahi dengan separuh akhir pertama pada 18 dan 19 Oktober, separuh akhir kedua pada 25 dan 26 Oktober serta aksi final 3 November.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|