View: 7478|Reply: 1
|
Remaja berisiko tinggi dijangkiti AIDS
[Copy link]
|
|
Remaja berisiko tinggi dijangkiti AIDS
Sempena Hari Aids Sedunia disambut 1 Disember: Sokongan orang sekeliling penting, mencegah angka daripada terus meningkat.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), melaporkan seramai 35.3 juta orang di seluruh dunia menghidapi Aids, pada tahun lalu.
Lebih mengejutkan, laporan turut menunjukkan, seramai 2.1 juta remaja berusia antara 10 hingga 19 tahun dikesan menghidapi HIV.
Laporan kematian akibat Aids juga menyebut, capaian terhad yang boleh diterima remaja menyebabkan angka berkenaan meningkat sehingga 50 peratus, berbanding penurunan sebanyak 30 peratus pada 2005 hingga 2012.
Tahun lalu juga menyaksikan seramai 9.7 juta masyarakat di negara berpendapatan rendah dan sederhana menerima terapi antiretroviral (ART).
Senario itu berlaku kerana dikenal pasti, ramai yang tidak mendapat penjagaan dan sokongan diperlukan apabila disahkan menghidap HIV dan AIDS.
Isu Aids tidak pernah padam. Justeru Hari Aids Sedunia disambut setiap 1 Disember. Sejajar dengan tema sambutan Hari Aids Sedunia 2013, ‘Menuju Sifar Kematian Berkaitan AIDS’, WHO melihat sokongan daripada orang sekeliling amat penting untuk mencegah peningkatan angkat berkenaan yang semakin membimbangkan khususnya membabitkan golongan remaja.
Justeru, WHO mengeluarkan cadangan baru menjelang Hari AIDS Sedunia 2013 untuk menangani keperluan khusus kepada remaja yang dijangkiti dan mereka yang berisiko jangkitan.
Cadangan dikemukakan menerusi panduan “HIV dan Remaja” itu adalah menjurus kepada ujian HIV dan kaunseling serta bagaimana menjaga remaja yang menghidapi HIV.
Tekanan emosi
Pengarah Jabatan HIV/Aids WHO, Dr. Gottfried Hirnschall, berkata remaja memerlukan perkhidmatan kesihatan dan sokongan, namun perlu disesuaikan dengan keperluan mereka.
Katanya, remaja adalah golongan yang kurang menjalani ujian HIV berbanding dewasa. Oleh itu, mereka memerlukan lebih banyak sokongan daripada dewasa bagi membantu mereka mengekalkan penjagaan kesihatan dan melakukan rawatan.
“Remaja menghadapi tekanan emosi dan sosial yang sukar dan sering mengelirukan kerana mereka mengalami fasa tumbesaran bermula daripada kanak-kanak hingga peringkat dewasa,” katanya.
WHO turut mendedahkan, di Sahara, Afrika, ramai bayi dijangkiti HIV sejak lahir dan virus itu berterusan dalam tubuh sehingga remaja. Selain banyak perubahan yang berkaitan dengan alam remaja, golongan ini juga menghadapi cabaran hidup dengan mengalami jangkitan kronik.
Hanya 15 peratus tahu status
Sementara itu, Ketua program HIV untuk Pertubuhan Tabung Kanak-kanak Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF), Craig McClure pula berkata, remaja perempuan dan lelaki muda yang mempunyai hubungan seks dengan lelaki, menyuntik dadah atau mereka yang menghadapi paksaan dan penderaan seks berisiko tinggi; sering menghadapi pelbagai halangan termasuk undang-undang keras, ketidaksamaan, stigma dan diskriminasi yang menghalang mereka daripada mengakses perkhidmatan kesihatan seperti ujian HIV atau tindakan mencegah dan merawat HIV.
“Kira-kira satu hingga tujuh kes jangkitan HIV berlaku kepada penghidap remaja. Jika halangan ini tidak dapat disingkirkan, impian untuk melihat generasi muda bebas Aids tidak dapat dicapai,” katanya.
Di Afrika yang menjadi negara paling banyak penghidap HIV, WHO menganggarkan hanya 10 peratus golongan muda dan 15 peratus wanita muda berusia antara 15 hingga 24 tahun tahu status mereka sebagai penghidap HIV.
Lebih membimbangkan, walaupun data adalah terhad, didapati akses kepada ujian HIV dan kaunseling remaja yang terdedah kepada penyakit ini dilaporkan sangat rendah.
Kaji semula undang-undang
Oleh itu, WHO mencadangkan kerajaan mengkaji semula undang-undang mereka untuk membuat ia lebih mudah bagi remaja menjalani ujian HIV tanpa perlu persetujuan daripada ibu bapa mereka.
Garis panduan ini juga mencadangkan, perkhidmatan kesihatan boleh meningkatkan kualiti penjagaan dan sokongan sosial untuk remaja.
Malah, untuk menyokong pekerja kesihatan meletakkan cadangan, WHO sudah membangunkan kaedah baru menerusi talian yang akan dilancarkan, pada Januari tahun depan dan ia akan menggunakan contoh praktikal daripada program negara yang pernah bekerja rapat dengan remaja mengenai isu HIV.
Kerjasama dijalankan WHO dan organisasi seperti UNICEF dan badan lain lain dilihat mampu memacu perubahan dalam mengurangkan kes jangkitan HIV kepada golongan remaja yang sepatutnya bebas daripada penyakit maut ini dengan kaedah perkhidmatan dan penjagaan kesihatan yang lebih sesuai dengan remaja.
Tegas tangani epedemik AIDS
Laporan agensi AIDS Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNAIDS) pula mendapati, pengurangan sebanyak 52 peratus dalam jangkitan baru HIV dalam kalangan kanak-kanak dan gabungan peratusan sebanyak 33 peratus dalam kalangan dewasa dan kanak-kanak berlaku sejak 2001.
Justeru, Sasaran Pembangunan Milenium ke-6 dalam memerangi, AIDS sebagai wabak epedimik sudah dihentikan dan kini lebih kepada mencapai akses sejagat menerusi rawatan HIV.
Penurunan jangkitan baru HIV pada kanak-kanak dan dewasa dianggarkan, berlaku sebanyak 2.3 juta pada tahun lalu dan mengalami pengurangan 33 peratus sejak 2001. Statistik menunjukkan, jangkitan baru kanak-kanak mengalami pengurangan kepada 260 ribu pada 2012 dan peratusan pengurangan sebanyak 52 peratus ini berlaku sejak 2001.
Lebih menggalakkan, kematian akibat AIDS juga sudah mengalami penurunan sebanyak 30 peratus sejak 2005 lalu apabila rawatan antiretroviral (ART) diperkenalkan. Kemajuan dalam terapi ART menjelang akhir 2012 sangat memberangsangkan apabila kira-kira 9.7 juta orang di negara berpendapatan rendah dan sederhana sudah mula mengakses terapi ART.
10 sasaran
Ia jelas menunjukkan dalam satu tahun saja, ia mengalami peningkatan sebanyak 20 peratus. Malah, pada 2011 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bersetuju untuk mensasarkan seramai 15 juta orang mendapat rawatan HIV.
Menerusi UNAIDS pada 2012, dianggarkan 35,300,000 menghidap HIV dan 2.3 juta penghidap baru HIV dan 1.6 juta penghidap HIV mati akibat penyakit berkaitan AIDS.
Justeru, atas dasar menyelamatkan lebih banyak nyawa, UNAIDS sempena sambutan Hari AIDS sedunia, mensasarkan 10 sasaran bagi menangani isu ini dan antaranya adalah mengurangkan separuh jangkitan seksual daripada jumlah tahun lalu, termasuk dalam kalangan muda, lelaki yang mengadakan hubungan seks dengan lelaki dan pekerja seks.
Matlamat lain, mengurangkan kematian ibu berkaitan AIDS dan menghapuskan segala jangkitan. Selain itu, semua jangkitan baru HIV diharapkan dapat dicegah menggunakan ubat-ubatan dan memberi rawatan terapi ART kepada mereka yang dijangkiti serta mengurangkan separuh jangkitan Tibi penghidap HIV.
Pada masa sama, mereka yang hidup dengan HIV dan keluarga yang terjejas akibat HIV, ditangani dalam semua strategi perlindungan sosial negara serta mempunyai akses penjagaan sokongan kesihatan.
INFO: Mengenai HIV/AIDS
HIV bermaksud virus kurang daya tahan manusia yang akhirnya menyebabkan terjadinya AIDS yang merujuk
sindrom kurang daya tahan.
HIV akan merosakkan sel darah yang penting dan sistem imun seseorang.
90 peratus kes HIV terkumpul adalah lelaki.
87 peratus jangkitan HIV oleh Wanita adalah menerusi hubungan heteroseksual
Afrika Selatan adalah negara paling tinggi penghidap AIDS dan mempunyai populasi terbesar dijangkit HIV.
Ketahanan ubat HIV
Keupayaan HIV untuk bermutasi dan mengubah semula virus dengan kehadiran ubat antiretrovirus dipanggil ketahanan ubat HIV.
Mutasi ini mengakibatkan kegagalan rawatan, kenaikan kos langsung dan tidak langsung berkaitan dengan keperluan untuk memulakan rawatan barisan.
Lima negara tertinggi penghidap AIDS
- Afrika Selatan
- Nigeria
- India
- Kenya
- Mozambique
|
|
|
|
|
|
|
|
Sebab tu penting pendidikan seks kat sekolah. Bukan satu matapelajaran yg nak kena lulus...
Orang takut pasal ingat ni pendidikan buat seks.
Yg belajar semua akan mengeseks.
Dalam otak dah bayang dah, betapa seronoknya budak belajar mengeseks.
Kalau kat barat PSex ni, pendidikan yg bosan. Pasal pengisiannya ialah tunjuk penyakit kelamin banyak2,
Syphliss, Gonorrhea, Herpes...bukan takat Aids aje. Biar bosan, tapi paham...seks hari ni, tak seseronok yg dijangka.
Pasal tak reti pasal seks la, budak sekolah seronok mengeseks sebab nak tahu.
Bila mengandung, pam dalam jamban.
Kira tu la yg paling depa takut....mengandung. Yg lain okeh je....
Bohjan sekolah yg buat projek sekali tu...takder suspek langsung pernah kongsi jarum ke...apa ke...
Takkan nak harap makpak ajar pasal STD ni kut...... |
|
|
|
|
|
|
| |
|