CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3661|Reply: 1

Sebelum agama menjadi tawa...

[Copy link]
Post time 22-10-2014 11:03 PM From the mobile phone | Show all posts |Read mode

Dian Anais | 10:46AM Oct 22, 2014
ULASAN Saya suka program "I want to touch a dog". Saya suka kerana program seperti ini berupaya untuk membuka mata khalayak di Malaysia tentang bagaimana sebenarnya masyarakat kita berkembang dan berfungsi.

Memang, pada asalnya program tersebut adalah bertujuan untuk menjernihkan kembali tanggapan Muslim terhadap anjing. Lalu, media massa pula melaporkan sebuah sambutan hangat terhadap program unik tersebut.

Tapi, memandangkan isu anjing adalah antara perkara yang menjadi persoalan dalam agama, maka pihak berwajib agama dilaporkan oleh media massa bahawa program tersebut telah mencabar wibawa agama di Malaysia.

Selain itu, ahli-ahli politik turut memberi pendapat masing-masing. Ada yang memberi sokongan, menyindir, dan mengkritik. Begitu juga warga-warga yang lain, masing-masing dengan rencam pandangan mereka.

Dari gambaran tanggapan ini, saya mendapati bahawa masyarakat kita sudah semakin kompleks. Di sini, peranan agama, perlahan-lahan sudah semakin kurang relevan di dalam sebuah masyarakat yang kompleks tersebut. Manakala, peranan media massa pula sudah semakin bermaharajalela.

Lihat saja kontroversi "I want to touch a dog" tersebut. Semua reaksi yang diberikan adalah bersandarkan kepada laporan media massa. Jadi, orang agama, orang politik, orang ramai, masing-masing terpaksa menggunakan media massa – sama ada media arus perdana mahupun media sosial peribadi masing-masing – dalam menyatakan sikapnya. Bagi saya, media massa kini ibaratnya sebuah "agama baru" dalam dunia semasa.

Saya percaya, seraya dengan kerumitan masyarakat pada hari ini, agama sedang bersemuka dengan cabaran yang paling besar untuknya bertahan sebagai sebuah fungsi yang dihormati dan dilanggan di dalam masyarakat terbanyak.

Bergantung pada undang-undang

Sebab, perkembangan semasa kian menunjukkan bahawa agama sudah kehilangan taringnya dalam merukunkan masyarakat secara keseluruhannya. Kalau dulunya, agama memang secara bersendirian mampu mengolah serta menentukan arah tujuan masyarakat kita. Tapi, kini tidak lagi.

Kini, masyarakat sudah dijaring dengan pelbagai kepentingan, dan agama hanyalah merupakan sebahagian dari jaringan kepentingan tersebut. Dalam kata lain, masyarakat adalah campuran urusan antara pelbagai kepentingan yang melibatkan media-massa, politik, ekonomi, undang-undang, sains, dan lain-lain termasuklah agama.

Dengan mengambil contoh program "I want to touch a dog" tersebut, kita mendapati bahawa banyak pihak, terutamanya pihak berwajib agama, sudah mula merasa gelisah. Mengapa? Kerana nampaknya wibawa mereka mulai digugat.

Akhirnya, demi memelihara wibawanya, pihak beragama akan terpaksa menggunakan undang-undang untuk membendung acara seperti ini diulangi. Sekali lagi, ironinya, kita dapat melihat betapa pihak berwajib agama pun terpaksa menggunakan bantuan sistem yang lain dari dirinya (yakni, undang-undang) untuk, kononnya, memastikan peranan agama tetap kekal berpengaruh.

Jadi, untuk memastikan masyarakat kita bersikap "dengar kata" dan "tidak babil", ternyata jalan perundangan adalah medium terbaik. Sama ada pihak beragama, orang politik mahupun orang ramai, semuanya akhirnya terpaksa patuh pada undang-undang dalam menentukan mana yang boleh dibenarkan atau sebaliknya.

Jelas sekali, bahawa penentuan legal-illegal adalah terangkum dalam sistem perundangan. Dan, bukannya dalam agama. Malah, agama memerlukan sistem perundangan untuk mana-mana "hukum agama" dikuatkuasakan. Justeru itu, ini jelas menggambarkan kepada kita bahawa agama pada hari ini sedang dihambat oleh bermacam sistem yang lain, termasuklah dari undang-undang, media-massa dan sebagainya.

Sejauh yang saya fikir, masyarakat pada hari ini tampaknya lebih mudah "beriman" kepada media massa, undang-undang, sains, dan juga ekonomi. Sementara, di sisi yang lain pula, agama semakin hilang kepercayaan dari masyarakat dan tidak lagi memiliki kata muktamad ke arah mana masyarakat kita harus bergerak.

Universal, indah, mulia

Bagaimanapun, saya mengakui, bahawa peranan agama, juga peranan orang agama, boleh terus berfungsi dengan baik sekiranya kalangan ini dapat melaraskan bahasanya dengan perkembangan kemasyarakatan. Tapi, ini tidak berlaku dengan sebaiknya.

Sebab itu, pihak beragama kelihatan sangat resah dengan program "I want to touch a dog". Program kerdil tersebut rupanya, dalam diam-diam, adalah sebuah sergahan gergasi untuk pihak beragama.

Lantas, persoalan yang menarik untuk kita fikirkan ialah: mengapa acara kecil tersebut mendapat sambutan yang signifikan? Bagi saya mudah: itu jelas menunjukkan bahawa masyarakat berkembang dengan rasionaliti dan logiknya tersendiri.

Dewasa ini, masyarakat mudah memahami bahawa menyayangi haiwan adalah perbuatan yang sah-sah saja adalah universal, indah dan mulia. Sebaliknya, sikap untuk melarang aktiviti sedemikian pula dianggap sebagai sesuatu yang tidak kena dengan "common sense" masyarakat mutakhir.

Kerana itu, andainya pihak berwajib agama terus berkeras dengan skema pandangan yang selektif, buruk serta tidak rasional, maka pada akhirnya agama – secara tabiinya – akan jadi tidak relevan sama sekali di mata masyarakat.

Natijahnya, untuk memastikan agama tetap kekal relevan, maka ia hendaklah menawarkan hal-hal yang bersifat universal, indah dan mulia. Tanpa sifat-sifat seperti ini, maka agama dan orang agama hanya akan mendapat kembar baru yang bernama tawa.

DIAN ANAIS seorang suri rumah sepenuh masa. Beliau dapat dihubungi melalui [email protected]
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 5-4-2022 07:01 PM | Show all posts

Errr...

[AceHand SPECTaceLAR]

Motip nak kontek suri rumah...?


Jizzz... Klong! Klong!

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Lawak & Santai


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

29-11-2024 04:17 AM GMT+8 , Processed in 0.197004 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list