CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 4398|Reply: 2

Buku kalimah ‘Allah’ milik Orang Asli Kristian, legasi 3 generasi

[Copy link]
Post time 26-12-2014 01:34 PM | Show all posts |Read mode
Buku kalimah ‘Allah’ milik Orang Asli Kristian, legasi 3 generasi
OLEH LEE SHI-IAN
Published: 25 December 2014

Orang Asli berkumpul dan menyanyikan lagu doa di gereja Kampung Tanah Gembur C di Tangkak, Johor. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 25 Disember, 2014.Orang Asli beragama Kristian di Johor, yang dirampas bahan bacaan mereka oleh polis awal bulan ini kerana mengandungi kalimah Allah memanggil Tuhan dengan nama itu sejak 1920-an ketika pertama kali mereka menganut Kristian, kata salah seorang daripada puak itu.
Buku yang dirampas itu turut mengandungi lagu yang mereka nyanyikan sekurang-kurangnya sejak 3 generasi yang diturunkan secara lisan hingga mereka merakamkannya dalam bentuk tulisan pada 1990-an, kata mereka kepada The Malaysian Insider pada petang Ahad lalu, ketika melawat kampung mereka di kawasan kelapa sawit dan ladang getah di Tanah Gembur, Bekoh, di negeri paling selatan di Semenanjung Malaysia.
Bong Alang, 58, berkata menyanyi mazmur memuji Tuhan itu diturunkan secara lisan dari generasi ke generasi, adalah cara mereka diajar untuk bersembahyang oleh mubaligh French Katolik yang datang pada 1920-an.
“Kami hanya mengikut ajaran itu yang diajarkan kepada kami oleh ibu bapa kami, yang kami akan turunkan kepada anak kami,” kata bapa 5 anak itu.
“Tanpa Allah, siapa yang akan tolong kita? Ini adalah sejarah kami, bagaimana kami diminta tiba-tiba menukar nama Tuhan?
“Tuhan beri kami kehidupan, jadi kenapa kecoh menggunakan perkataan Allah untuk menggambarkan Dia? Polis kurang akal dan budi ketika merampas bahan bacaan itu,” kata Bong.
Katanya, anggota polis berpakaian preman datang ke kampung itu pada 19 Disember dan bertanya soalan mengenai gereja mereka, yang merupakan sebuah dewan besar di tengah kampung.
Sebanyak 31 salinan bahan bacaan itu, bertajuk "Mari Kita Memuji Tuhan Allah Kita" dirampas pada 5 Disember daripada paderi Katolik, Father Cyril Mannayagam yang datang ke kampung itu dua kali sebulan untuk mengadakan acara keagamaan kepada 100 Orang Asli yang tinggal di situ. Mereka adalah ahli kariahnya di bawah Gereja St Andrew di Muar, kira-kira sejam perjalanan dengan memandu dari kampung itu merentasi ladang getah dan kelapa sawit.
"Kami memang guna Allah selama ini"
Untuk Orang Asli ini, kampung mereka di kaki Gunung Ledang dan terpisah dengan pembangunan arus perdana oleh perladangan, rampasan itu lebih mengeliru dan membingungkan.
Rohana Jantan, 41, yang lahir dan dibesarkan di perkampungan itu, tertanya-tanya mengapa bahan bacaan itu menyebabkan kekecohan kerana ia bukan dihasilkan oleh gereja itu.
“Buku bacaan itu dibuat oleh kami, bukan Gereja Katolik itu. Bahan bacaan ini diturunkan kepada kami oleh nenek moyang kami,” kata ibu kepada lima anak itu.
“Oleh kerana generasi terdahulu buta huruf, bahan bacaan ini diturunkan menerusi ingatan hingga generasi sekarang yang boleh membaca dan menulis,” katanya.
Ia berlaku pada 1992, apabila ada penduduk yang bersekolah mula menulis nyanyian mazmur itu, yang kemudiannya dikumpul menjadi buku nyanyian agama Kristian – seberkas kertas fotokopi dengan ilustrasi lukisan tangan sebagai kulit buku.
“Sejak itu, buku itu diubah suai dan disalin semula. Maka, kami sangat terkejut apabila kami dengar ia dirampas oleh pihak berkuasa.
“Kami tidak takut, kami hanya tertanya-tanya apa salah kami? Bahan bacaan dan nyanyian itu adalah peninggalan nenek moyang kami,” kata Rohana.
Penduduk kampung itu tahu mengenai pergelutan berhubung hak penggunaan “Allah” oleh Gereja Katolik dalam penerbitan bahagian Bahasa Malaysia Herald.
Nora Jantan, 37, berkata dia tahu mengenai kes yang berlarutan selama 4 tahun itu sebelum ia dibawa ke Mahkamah Persekutuan.
“Kami bukan cuba menyebarkan perkataan 'Allah' atau menggunakannya sewenang-wenang. Kami hanya memuji 'Allah' dalam nyanyian keagamaan kami yang hanya digunakan di kampung ini,” kata ibu empat anak itu.
"Kami sudah biasa guna perkataan 'Allah', ia juga ditulis dalam Alkitab,” katanya ketika menunggu untuk upacara suci atau Misa Kudus bermula di dewan besar.
Seperiuk ayam untuk 100 orang
Penduduk Orang Asli keluar dari gereja selepas selesai upacara ibadat mereka di Kampung Tanah Gembur C di Tangkak, Johor. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 25 Disember, 2014.Dewan besar itu dinamakan sempena mendiang Bong Ajang, yang menjadi ketua kampung itu dan juga salah seorang pengasas pada 1920. Dia juga bapa kepada Bong Alang, dan menjadi wasiatnya sebelum meninggal dunia supaya namanya diletakkan di dewan itu.
“Sebagai anaknya, menjadi tugas saya melaksanakan kehendaknya. Sebab itu dewan besar dinamakan sempena namanya,” kata Bong Alang.
Berbeza dengan rumah penduduk yang usang, dewan itu teguh, bangunan yang dibina dengan sempurna, lengkap kipas siling dan lantai jubin di bahagian dalam di mana ahli kariah duduk ketika mendengar dengan tekun apa yang disampaikan Cyril.
Cyril dan seorang lagi paderi, Father Patrick Teoh, mengadakan sesi pengakuan dosa untuk Orang Asli kerana ia seminggu sebelum Krismas.
“Kami mengadakan sesi pengakuan dosa dua kali setahun untuk ahli kariah, sebelum Hari Easter dan Krismas. Ia lebih kepada seperti sesi kaunseling,” kata Cyril.
“Untuk Misa Kudus yang diadakan dua kali sebulan, selalunya kami menerima kehadiran penuh,” kata paderi berusia 44 tahun itu, yang memulakan tugasan itu 5 tahun lalu, dan meninggalkan kerjaya sebagai penolong pengurus di syarikat membuat jus.
Selain acara agama dua kali sebulan, perjumpaan sosial yang lain turut diadakan di dewan itu. Apabila majlis itu tamat, dewan itu bertukar menjadi kawasan makan yang besar, kerana penduduk meletakkan pelbagai makanan untuk dijamu beramai-ramai.
Daging adalah makanan mewah untuk orang Asli, dan semua 15 jenis juadah adalah daripada pelbagai jenis sayuran.
Hanya ada 1 periuk juadah ayam, dan kanak-kanak berasak-asak untuk mendapatkannya sementara orang dewasa berpuas hati dengan nasi dan sayur.
Menunggu rumah baru
Ayam itu ditemui ketika sedang mematuk di bumbung rumah beberapa penduduk kampung, di mana rumah hanya struktur asas, dengan sebahagiannya menggunakan kain tarpaulin dijadikan dinding.
Bekalan elektrik ke kampung itu hanya disambung pada 2011, kata Bong Alang, dan masih belum ada bekalan air paip, jadi penduduk kampung mendapatkan air dari aliran sungai pergunungan.
“Kami sudah banyak kali maklumkan pihak berkuasa mengenai situasi air kami tetapi tidak ada sesiapa peduli menyelesaikan perkara itu,” katanya.
Mereka menunggu 10 tahun sejak mengemukakan permohonan mendapatkan rumah baru untuk dibina bagi menggantikan rumah kayu yang sudah uzur.
“Ketika pilihan raya lalu, ada rumah dibina tetapi yang lain masih hidup dalam pondok,” katanya, ketika membawa The Malaysian Insider berjalan-jalan sekeliling kampung.
“Anak-anak kami bersekolah di Bekoh, kira-kira 1.5km dari kampung ini. Jabatan Hal Ehwal Orang Asli menyediakan van untuk pengangkutan,” katanya.
Kebanyakan penduduk kampung memperolehi pendapatan bulanan RM1,500 hasil daripada menoreh getah, bercucuk tanam dan menternak haiwan.
Terletak di kaki gunung, perkampungan itu juga sering dilanda angin kuat, dan ada kalanya ia menerbangkan bumbung rumah mereka.
Rohana berkata dia ada mendengar berita kerajaan akan hanya membina rumah untuk penduduk kampung berumur 40 tahun ke atas, tetapi dia masih belum menerima rumahnya.
“Saya hantar permohonan sudah lebih 10 tahun lalu, tetapi masih belum mendengar jawapan daripada kerajaan tempatan mengenai status permohonan,” katanya.
Kebebasan beragama
Hari ini, penduduk kampung berkumpul lagi di dewan besar untuk perhimpunan besar menjelang Krismas sebelum makan malam bersama.
“Tidak, kami tidak ada ayam belanda. Kami ada cicak, monyet, musang, babi hutan, ayam dan ular sawa, apa saja yang ada dalam hutan,” kata Rohana ketika diminta bercerita mengenai makanan.
“Ada pelbagai jenis sayuran juga untuk makan malam Krismas, biasanya apa saja yang kami tanam dan sumber dari hutan,” katanya.
Bagi pencuci mulut, beberapa wanita akan membuat agar-agar, dan ada buah-buahan. Agar-agar biasanya kegemaran kanak-kanak, katanya.
Tidak ada yang istimewa ketika bertukar-tukar hadiah, kecuali untuk kad Krismas yang dibuat sendiri.
Dan tidak perlu pokok Krismas, kata Rohana, kerana perkampungan itu dikelilingi kehijauan. Tetapi ada keluarga mengambil insiatif membuat hiasan ringkas untuk diletakkan di rumah mereka.
Dan mereka ada buku nyanyian agama mereka, yang dipulangkan semula oleh polis menerusi Cyril, pada 18 Disember.
Cyril disoal siasat oleh polis pada hari buku itu dirampas daripada kedai buku yang beliau tinggalkan untuk difotokopi.
Tetapi paderi itu berkata beliau gembira buku itu dipulangkan tanpa rosak atau diletakkan syarat.
Beliau bimbang jika buku itu ditanda dengan amaran seperti cap yang ditemui dalam Bible berbahasa Melayu dan Iban yang dirampas oleh Jabatan Agama Islam Selangor daripada Persatuan Bible Malaysia (PBM) awal tahun ini yang kemudiannya dipulangkan, baru-baru ini.
Amaran itu menyatakan Bible itu tidak boleh digunakan atau diterbitkan dalam Selangor.
Rampasan daripada PBM oleh pihak berkuasa agama Selangor itu, dan kes terbaru membabitkan bahan bacaan Orang Asli di Johor, adalah sebahagian daripada pertelingkahan mengenai hak orang bukan Islam menggunakan kalimah Arab “Allah”.
Mahkamah Persekutuan pada 12 Januari akan mendengar permohonan baharu Gereja Katolik untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap larangan menggunakan perkataan itu didengar di Mahkamah Rayuan.
Dalam konteks itu, Cyril berkata beliau bertegas mahu mendapatkan semula buku itu daripada polis.
Katanya, beliau memang boleh guna buku lain untuk acara agama sempena Krismas atau membuat salinan lain daripada buku yang sama selepas rampasan itu, tetapi membuat keputusan untuk berjuang demi kebebasan beragama.
“Buku itu tidak penting di sini. Paling utama ialah, hak saya, dan hak ahli kariah yang diambil daripada kami,” katanya. – 25 Disember, 2014.

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 26-12-2014 01:52 PM | Show all posts
Johor ada org asli ka?? baru tahu...
Reply

Use magic Report

Post time 16-2-2024 01:44 AM | Show all posts
[AceHand SPECTaceLAR]

Baru tiga generasi dah kecoh...


Jizzz... Klong! Klong!

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Lawak & Santai


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

1-12-2024 06:02 PM GMT+8 , Processed in 0.053500 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list