|
Hishamuddin RaisUntuk minggu ini mari kita lupakan sementara ke mana kapal terbang resmi kerajaan Malaysia – 9M-NAA – hilang merayau-rayau. Untuk sementara waktu ini mari kita gantungkan perbincangan tentang Obama. Buat sementara waktu kita lupakan apakah arahan Obama kepada 'budak suruhannya' di padang golf Hawaii.
Minggu ini saya mahu membuka surah banjir. Untuk saya banjir yang melanda ini telah membuka wacana baru. Surah banjir membuka wacana politik, sejarah dan budaya. Surah ini wajib dibuka untuk memberi pencerahan. Surah ini diharapkan dapat memberi pemahaman makna banjir tahun 2014.
Musim tengkujuh, musim hujan, peralihan angin di Laut Cina Selatan telah berlaku semenjak alam ini wujud.
Gerakan angin yang membawa hujan adalah hukum alam. Semenjak zaman berzaman, utara Semenanjung Tanah Melayu – wilayah pantai timur – akan diserang angin dan hujan. Malah masuk sahaja bulan November pantai-pantai di timur semenanjung akan bergelora. Nelayan tidak ke laut. Laut akan kembali tenang dalam bulan Februari atau Mac.
Malah umum mengetahui banyak pulau-pulau tempat percutian dan tempat bercanda-canda di Pantai Timur akan ditutup. Laut bergelora dan berbahaya. Hujan mencurah turun. Air sungai melimpah naik. Kisah ini diperturunkan dari mulut ke mulut – dari generasi ke generasi. Ini menjadi pengetahuan ilmiah.
Sungai Pahang, Sungai Perak, Sungai Kelantan – sama seperti Menam Chao Praya, sama seperti Hwang Ho, sama seperti Sungai Ganges dan Indus, sama seperti Sungai Nil, sama seperti Sungai Tigris di Iraq – adalah pusat tamadun manusia. Ini kerana sungai yang membawa air adalah punca kehidupan. Lembah-lembah yang dilalui oleh sungai-sungai ini amat subur. Di sinilah bermulanya tamadun dan kehidupan.
Justeru, adalah anggapan bodoh jika ada yang menyangka bahawa warga yang tinggal tepi tebing-tebing sungai ini ' kurang akal ' kerana memilih hidup di tepi sungai. Ini termasuk anggapan bahawa mereka yang tinggal di lembah-lembah subur ini hanya mencari 'nahas' kerana pasti akan dilanggar bencana.
Memang betul, pada setiap musim tengkujuh, setiap tahun banjir akan sampai. Ada tahun yang ringan dan ada yang agak berat. Tetapi tidak seberat tahun 2014 ini.
Ketika saya membesar saya telah mengikuti warta berita dari Radio Malaya tentang banjir di Kelantan. Saya selalu mendengar rujukan turun naik air melalui ukuran 79 anak tangga Bradley. Ada tahap-tahap bahaya jika air melintasi anak tangga ini. Tangga di Sungai Kuala Krai ini dibina pada tahun 1927. Tangga Bradley ini menunjukkan ada kesedaran tentang wujudnya banjir di Kelantan dan cara berjaga-jaga terhadapnya.
Apa yang berbeza sekarang? Kalau dari tahun 1927 sudah diketahui apa bezanya dengan banjir hari ini? Kalau dulu ada banjir, hari ini juga ada banjir. Fakta ini betul, dulu banjir, hari ini juga banjir. Tetapi ada perbezaan yang hakiki.
Untuk pencerahan tentang fakta banjir hari ini biar saya bersurah tentang satu fakta yang mungkin tidak ada sesiapa selain dari saya yang mengaju dan memaparkan.
Fakta yang ingin saya nyatakan di sini ialah pembalakan. Apa 'spesialnya' pencerahan tentang pembalakan ini?
Memang betul dahulu ada pembalakan di Kelantan dan Pahang, Kedah dan Perak. Tetapi pembalakan pada tahun 60-an,70-an dan 80-an 'tersusun dan terkawal'. Tidak wujud apa yang dipanggil pembalakan haram. Pembalakan haram ini tidak wujud di Tanah Melayu. Konsep pembalakan haram ini muncul di Sabah dan Sarawak. Hanya semenjak 20 tahun kebelakangan ini budaya 'pembalakan haram' merebak ke semenanjung.
Apakah di tahun-tahun itu Jabatan Perhutanan cukup hebat? Pegawainya bekerja dengan rapi? Tidak ada kong kalikong? Apa teknologi yang wujud ketika itu?
Mustahil 30 tahun dahulu Jabatan Hutan hebat berbanding dengan sokongan peralatan teknologi hari ini. Justeru timbul persoalan bagaimana hutan dan pembalakan terkawal? Apa teknologinya?
Jawabnya: Parti Komunis Malaya (PKM). Dalam hutan dan di pinggir hutan Pahang, Kedah, Kelantan dan Perak ada tempat-tempat dan wilayah di mana kader PKM bergerak. Organisasi politik PKM bergerak bersama dengan pasukan gerila. Dalam hutan belantara ini PKM mendirikan perkampungan untuk menyusun kader politik dan angkatan bersenjata. Umum mengetahui sejarah bagaimana Orang Asal juga ramai yang menjadi kader dan penyokong PKM.
Ini bermakna di Tanah Melayu pada ketika itu wujud dua kuasa. Satu kuasa dari Kuala Lumpur dan satu lagi kuasa yang beroperasi dari sempadan Siam/Tanah Melayu. Kuasa lahir dari laras senapang.
Kerajaan Perikatan memiliki soldadu, manakala PKM juga memiliki gerila bersenjata. Dua kuasa politik yang memiliki senjata ini sedang bertembung. PKM sedang memperluas pengaruh. PKM menjalankan kerja politik di kampung dan pedalaman sebelum ke pekan dan kota. PKM menyusun kaum tani.
Sebagai taktik untuk mempertahan wilayah yang mereka kuasai - gerila-gerila PKM juga memasang bom jerangkap di serata pelosok hutan. Hanya kader PKM sahaja yang tahu di mana bom ini dipasang. Justeru masuk hutan untuk mencuri balak dengan membabi buta akan membawa maut. Ini fakta sejarah.
Justeru mustahil ada cukong atau pak lebai berketayap yang berani masuk mencuri-curi balak. Penyamun tarbus sedar akan bahaya bom jerangkap. Malah, syarikat pembalak yang mendapat lesen daripada kerajaan untuk membalak juga tahu bahawa dalam hutan ini ada lagi satu pasukan pengawal.
Para pembalak tahu mereka tidak boleh melakukan sebarangan dalam hutan. Kerana itu kita tidak pernah mendengar atau membaca berita ada anak dara Orang Asal dirogol pembalak seperti yang berlaku di Sabah atau Sarawak. Para pekerja balak tahu bahawa kader PKM dalam hutan ini tidak makan rasuah dan tidak patah oleh rayuan China doll. Kader PKM memerhatikan sikap dan tingkah laku pembalak.
Kesah pembalak bertemu dengan gerila ini selalu dilapor media arus perdana pada tahun 70-an. Malah ada juga berita yang melaporkan bahawa PKM mengutip cukai daripada pembalak.
Ini bermakna kewujudan PKM dalam hutan Perak, Kedah, Pahang dan Kelantan telah memelihara ekosistem bumi tropika pada ketika itu. PKM menyelamatkan hutan balak dari dirompak. Ini khidmat positif PKM berlaku secara tidak dirancang. Banjir di zaman itu tidak segila tahun 2014.
Dua puluh tahun dahulu Perjanjian Damai Haadyai telah ditandatangani antara PKM dengan Kerajaan Persekutuan. Ini bermakana PKM tidak lagi berada dalam hutan. Gerila PKM keluar. Semua bom jerangkap yang telah dipasang wajib dimusnahkan. Ini termaktub dalam Perjanjian Damai Haadyai.
Perjanjian damai ini diharapkan akan membuka ruang ekonomi kepada kawasan pedalaman di Kelantan. Memang tepat dan betul ada peluang ekonomi. Peluang ekonomi yang paling senang ialah merembat hutan balak. Umum mengetahui tentang berita tuduh menuduh antara parti PAS dengan parti United Malays National Organisation berkenaan hutan balak.
Parti Islam ini selalu dituduh oleh Parti Ketuanan Melayu sebagai kumpulan jahat yang menjual hutan balak Kelantan kepada tauke Cina Singapura. Tuduhan ini kita baca dalam media arus perdana. Kita juga diberitahu, malah ditunjukkan gambar bagaimana Hutan Lojing dan bukit bukau di Kelantan boleng sesudah balak di rompak.
Berita pembalakan ini menjadi buah mulut ketika banjir tahun 2014. Menteri besar Kelantan menafikan tentang peranan pembalakan. Malah Nik Abduh Nik Mat, seorang ahli Parlimen PAS, menyalahkan rakyat Malaysia yang menimbulkan kemarahan Allah kerana tidak menyokong hudud.
Sebenarnya cakap-cakap tentang hudud dan 'online' dengan Allah ini adalah cakap para politikus. Ini cakap-cakap dalam usaha untuk mengalihkan peranan manusia dalam banjir yang baru berlaku. Hudud akan dijadikan alat untuk menutup surah balak dan dakwaan penyelewengan dalam pentadbiran daripada diketahui umum.
Memang betul hukum alam akan membawa banjir. Peredaran musim akan membawa tengkujuh. Dalam masa yang sama, tetap betul dan tepat bahawa peranan manusia juga memburukkan lagi banjir. Dalam kes banjir yang baru berlaku ini, tidak dapat tidak, pembalakan salah satu puncanya.
Manusia kini menjadi angkuh. Manusia menjadi tamak. Manusia semakin gila mengumpul harta. Ada yang berselindung di sebalik kaum, bangsa dan raja. Ada juga yang berselindung di belakang ketayap dan agama. Hakikat manusia sedang membantai alam dan menggali bumi untuk mengumpul harta kekayaan.
Alam telah lama menangis sedih. Bumi telah lama sakit. Bukit dan hutan telah lama gering. Hanya kita manusia yang angkuh dan sombong tidak melihat ini. Tanda-tanda sudah jelas terpampang.
Sila pergi berdiri ke tebing ke Sungai Kelantan, sila pergi ke tebing Sungai Pahang, perhatikan betul betul. Buka mata dan buka hati.
Lihat tangisan darah daripada sungai ini. Air sungai ini sedang berdarah. Air sungai ini sedang mengalirkan darah bumi. Warna coklat, warna hitam, warna lumpur adalah darah bumi. Sungai kita sedang menangis. Apakah ada hati yang melihat.
|
|
|
|
|
|
|
|
[AceHand SPECTaceLAR]
Sepatotnya kuar gamba hapa tu...?
Jizzz... Klong! Klong!
|
|
|
|
|
|
|
| |
|