|
KUANTAN – “Sejak suami diserang angin ahmar dan tidak boleh berjalan empat bulan lalu, antara ikhtiar yang saya lakukan adalah mandi serum setiap hari,” kata Rohani Rozali, 64, isteri Zakaria Wok, 69, yang diserang angin ahmar pada 1 November tahun lalu.
Rohani berkata, setiap pagi dia akan mencari daun-daun herba untuk direbus seterusnya memandikan suami dengan air tersebut yang dikatakan boleh mengubati penyakit tersebut.
Menurutnya, dalam tempoh empat bulan ini juga pelbagai perkembangan positif dapat dilihat menyebabkan dia tidak pernah jemu untuk membuat air rebusan herba itu setiap hari.
Katanya, pada pagi 1 November tahun lalu, sebaik sahaja suaminya bangun tidur, tangan kirinya tidak boleh diangkat.
“Melihat keadaannya tidak mampu bergerak, saya bawa dia ke hospital dan ditahan wad selama empat hari.
“Sejurus dibenarkan pulang ke rumah, inilah antara ikhtiar saya untuk melihat suami sembuh kembali. Walaupun tidak seratus peratus, sekurang-kurangnya dia kini boleh menggerakkan badan dan berdiri,” katanya.
Zakaria yang merupakan pengawal keselamatan kini dijaga sepenuhnya oleh Rohani di rumah mereka dekat Kampung Kolek, Sungai Lembing.
Rohani turut berharap agar sumbangan dapat diberikan untuk dia membeli keperluan suaminya itu seperti lampin pakai buang, ubat-ubatan dan susu khas.
“Sejak dia diserang angin ahmar ini, duit simpanan kami banyak digunakan untuk membeli keperluan tersebut.
“Lama kelamaan duit simpanan ini boleh habis kerana suami sudah tidak bekerja. Anak-anak ada membantu, tetapi mereka juga mempunyai tanggungjawab masing-masing,” katanya.
Nasib Zakaria mendapat perhatian daripada Adun Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah sempena Program Ziarah Kasih yang diadakan di sini.
sumber:sinar harian
|
|