oleh Rita Jong

Ia memiliki nama tokoh-tokoh politik dan bidang aktivisme: Teresa Kok dan RSN Rayer dari DAP, Khalid Samad dari PAS, N Surendran dari PKR, David Orok Dari Parti Reformasi Sabah, aktivis pelajar Adam Adli dan ahli akademik, Dr Azmi Sharom. Ini adalah sebahagian daripada 100 orang yang telah disiasat atau didakwa di bawah Akta Hasutan semenjak ia diluluskan pada tahun 1948. Ironinya, majoriti daripada mereka – 80, sebenarnya – didakwa di mahkamah hanya selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjanji pada tahun 2012 bahawa undang-undang itu akan dimansuhkan. Janji yang telah diulangi pada kemuncak kempen pilihan raya umum ke-13, dan disenaraikan sebagai sebahagian daripada pembaharuan untuk menghapuskan undang-undang lapuk yang menyekat kebebasan bersuara. Selain daripada ahli-ahli politik dan aktivis, seorang pendakwah Islam dan wartawan juga berada di kalangan mereka yang telah disiasat. Pertubuhan-pertubuhan sivil melihat ini sebagai satu pelanggaran undang-undang hak asasi manusia antarabangsa yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Pada tahun 2012, Najib telah berjanji untuk menggantikan Akta Hasutan dengan Akta Keharmonian Nasional untuk "mengukuhkan perpaduan negara kita dengan melindungi perpaduan negara serta memupuk keharmonian agama". Tetapi setahun kemudian, tangkapan-tangkapan bermula, dengan lapan orang ditahan dan didakwa kerana menghasut. Walaupun Malaysia bukan satu-satunya negara yang masih mempunyai Akta Hasutan, peguam-peguam percaya yang negara ini menggunakannya dengan paling kerap. Menurut pengarah eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen Akta Hasutan muncul "beratus-ratus tahun yang lalu" apabila raja-raja dan ratu tidak boleh dikritik. Dalam konteks hari ini, ia hanya membawa maksud yang seseorang itu tidak dibenarkan menyebabkan kebencian atau penghinaan, atau menyebabkan rasa tidak puas hati terhadap pemerintah atau kerajaan. Peguam perlembagaan, Fahri Azzat berkata Akta itu tidak relevan dalam sebuah negara yang moden dan demokratik, yang berharap untuk menggalakkan perkembangan intelek. "Ia juga boleh digunakan untuk menggagalkan demokrasi dan boleh disalahgunakan untuk melindungi mereka yang berkuasa dan menutup mulut pengkritik mereka. Ia tidak membantu kemajuan kita ke arah menjadi sebuah negara maju," tambah beliau. Pada 27 November 2014, dua tahun selepas Najib mengumumkan hasrat kerajaan untuk memansuhkan Akta itu, beliau membuat pusingan-U dan berkata yang Akta Hasutan akan kekal dan pindaan akan dilakukan bagi mengukuhkannya. Amnesty International berhujah yang Akta Hasutan, yang pada mulanya digubal untuk menyekat kritikan terhadap pemerintahan British (di Tanah Melayu), tidak mematuhi undang-undang dan piawai hak asasi manusia antarabangsa. Ia juga melanggar hak kebebasan bersuara seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Pengkritik-pengkritik berkata yang kerajaan menggunakan Akta Hasutan untuk menutup mulut pengkritik. Namun dari sisi lain, penyokong-penyokongnya mengatakan yang keamanan dan ketenteraman perlu dikekalkan, dalam perbezaan pendapat dan pergeseran yang semakin meningkat di kalangan rakyat pelbagai kaum. Tetapi perkembangan terkini telah membuktikan bahawa Akta Hasutan tidak begitu digunakan untuk memastikan keamanan dan keharmonian, dan lebih untuk menafikan kebebasan bersuara. Adalah janji Najib untuk memansuhkan Akta itu merupakan satu muslihat politik untuk meraih undi? Pada masa itu, sentimen awam terhadap penindasan kebebasan bersuara telah memuncak, dan secara kebetulan, pilihan raya umum bakal berlangsung beberapa bulan selepas itu. Malangnya, Najib telah membuat pusingan U dan sebaliknya berjanji untuk mengukuhkan undang-undang itu "untuk memelihara kesucian Islam", menghalang agama-agama lain daripada dihina dan untuk membolehkan tindakan diambil terhadap mereka yang menyeru pemisahan Sabah dan Sarawak daripada Malaysia. Kritikan-kritikan antarabangsa terhadap langkah itu diabaikan. Jadi adakah ianya langkah yang semata-mata mahu melindungi Umno? "Umno," kata Paulsen, "sedang berada di bawah tekanan. Parti itu kini merasakan bahawa ia tidak lagi boleh bersaing dengan pembangkang dan pertubuhan-pertubuhan sivil secara adil, dan terpaksa menggunakan taktik-taktik yang tidak adil dengan menggunakan undang-undang yang menindas dan kerajaan untuk menutup mulut pengkritik. " Sebaliknya, Paulsen mengakui bahawa terdapat juga mereka yang tidak bertanggungjawab membuat kenyataan-kenyataan menghasut dan menghina agama, dan mempermain-mainkan mereka yang mulia. "Ada had terhadap toleransi. Jika kita tidak berhati-hati, liberalisme akan menjerumuskan kita dalam perbalahan antara agama atau kaum. Sudah pasti kita tidak mahu memusnahkan apa yang telah dicapai sejak Merdeka," tambah beliau. Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa kebebasan bersuara secara mutlak tidak wujud, mana-mana undang-undang yang menyekat hak untuk menyuarakan pendapat, pada asasnya adalah salah.
Ini merupakan petikan sebuah rencana yang petama kali diterbitkan dalam Focusweek isu 14 Mac 2015. Untuk membaca dengan lebih lanjut, sila layari www.focusweek.my
|