Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim diminta tidak perlu membuat keputusan terburu-buru untuk melepaskan jawatannya hanya disebabkan ranking Harimau Malaya jatuh tiga anak tangga iaitu ke-178 dunia. Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata beliau terkejut dengan hasrat Tunku Ismail yang mahu melepaskan jawatan sebagai Presiden FAM bagaimanapun beliau percaya keinginan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dibuat ekoran kekecewaan terhadap segelintir netizen yang kerap menyalahkannya apabila ranking skuad kebangsaan jatuh.
“Bagi saya, Tunku Ismail tidak perlu sebenarnya untuk meletak jawatan sebagai Presiden FAM, hanya kerana desakan segelintir netizen ini. “Isu ranking ini pada saya boleh diperbaiki apabila skuad kebangsaan yang kini dikendalikan Tan Cheng Hoe bakal memulakan aksi bagi tahun 2018 ini dengan bertemu Mongolia dan Lebanon, bulan ini. Insya-Allah keputusan positif bakal dicapai dan ranking Malaysia akan mula meningkat pada kemas kini seterusnya, bulan depan. “Takkanlah kerana isu ranking ini, kita rela kehilangan seorang individu yang cukup berwibawa, begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negara. “Sudah tentu jika kita membiarkan Tunku Ismail meletak jawatan, kita juga akan kehilangan penaja dan saya sendiri tidak dapat membayangkan siapa yang layak untuk menggantikan tempat baginda sebagai Presiden FAM,” katanya yang dipetik daripada laman web rasmi FAM di sini hari ini. Tambah Hamidin, bukan mudah untuk Tunku Mahkota Johor (TMJ) memuaskan hati semua pihak walaupun sebenarnya Tunku Ismail telah berjaya memenangi hati ramai pemegang taruh bola sepak di negara ini, termasuk pasukan, pemain, jurulatih, pegawai, penyokong dan semua yang terlibat. Hari ini Utusan Malaysia melaporkan TMJ dalam nada sinis berkata sudah tiba masanya untuk beliau melepaskan kerusi No. 1 badan induk itu kerana ranking terbaharu yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam merupakan kedudukan terburuk dalam sejarah bola sepak negara.
|