Mungkin ramai yang luar sana tidak sedar akan pengaruh lagu-lagu Alleycats. Itulah musik kita yang sebenar. Jiwa dan roh lagu-lagu Alleycats begitu senang hinggap menyusup ke dalam jiwa kita. Lagu-lagunya membuat kita mengimbau kisah suka duka hidup kita. ALLEYCATS TELAH BANYAK MENYATUKAN DUA INSAN BERCINTA DAN TELAH BANYAK MEWARNAI HIDUP KITA DAN INDUSTRI HIBURAN TANAH AIR.
TERIMA KASIH ALLEYCATS !
Program khas rai ulang tahun ke-40 Alleycats
Oleh Zaidi Mohamad
NOSTALGIA: Kumpulan Alleycats bersama Loga
(dua dari kiri) sewaktu hayatnya.
SATU rockumentari khas bersempena ulang tahun Alleycats ke-40 (1968 - 2008), Kerana Kau, Ku Masih Di Sini bakal disiarkan pada 28 Julai jam 9 malam hanya di RTM1. Program khas ini akan menyingkap sejarah tertubuhnya kumpulan tersohor dan lagenda ini.
Turut dimuatkan temu bual insan seni yang pernah membabitkan diri dengan kumpulan ini seperti M Nasir, S Amin Shahab, Aidit Alfian, Spider dan Andy Flop Poppy. Tidak lupa, komen insan yang paling dekat dan bertakhta di hati kumpulan ini, ibu David Arumugam, isteri dan anak Loga. Ia juga disiarkan sempena tribute khas kepada Loga yang sudah setahun meninggal dunia.
Mengimbas kembali pacuan seni mereka, memberi simbolik sudah 40 tahun kumpulan yang ditubuhkan di Pulau Mutiara itu menghiburkan peminat. Siapa bisa lupa lagu sentimental seperti Senandung Semalam, Layang- Layang Terputus Talinya, Suara Kekasih, Kerana, Hingga Akhir Nanti, Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi, Hatiku Kau Luka, Noktah Bagi Cinta Ini dan banyak lagi. Makin didengar semakin menyerap ke hati. Apatah lagi apabila salah seorang penyanyinya, Loganathan Arumugam sudah tiada lagi. Loga pergi meninggalkan lagu indah buat peminat.
Pada saat akhir Loga bertarung melawan penyakit kanser paru-paru, David muncul sendirian di pentas. Walaupun bersendirian, David tetap menamakan dirinya sebagai Alleycats. Kini David bersendirian dengan nama Alleycats. David tidak melihat kejayaan Alleycats sebagai kejayaannya seorang sebaliknya sentiasa membawa nama Alleycats. Alleycats membuktikan perjalanan muzik mereka mampu merentasi zaman kebangkitan rock, hip-hop, rap, dangdut dan rock indie sekarang. Ia tidak menggugat mereka. Alleycats masih kuat tunjangnya. Bakat, komited dan identiti sendiri dalam memenuhi selera pendengar masih tetap setia kepada Alleycats khususnya vokal David dan mendiang Loga.
Universal Music Malaysia juga menerbitkan sebuah album khas yang menampilkan 40 lagu hits Alleycats sepanjang zaman berjudul Alleycats Ulang Tahun ke-40, 1968-2008, Kerana Kau, Ku Masih Di Sini. Turut dimuatkan tiga rakaman lagu baru dan bonus CD yang memuatkan rockumentari khas Alleycats sebagai buah tangan buat peminat mereka.
Tiga rakaman lagu baru itu ialah duet syahdu bersama Jay Jay dengan lagu yang bertajuk Hanya Kita Yang Tahu, sebuah lagu lama Senandung Semalam yang diberi nafas baru secara rockestra berduet dengan kumpulan Kristal dan lagu quartet Suara Kekasih bersama Saleem, Zamani Slam dan Izad Exist.
KUALA LUMPUR: Artis veteran, Thiagarajan K R Arumugam, yang lebih dikenali dengan nama David Arumugam, daripada kumpulan Alleycats, adalah antara 285 orang yang menerima darjah dan bintang kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Istana Negara, hari ini.
David, yang menerima Johan Setia Mahkota (JSM), adalah vokalis utama kumpulan muzik tempatan terkemuka, Alleycats, yang ditubuhkan pada 1969 dan memperoleh kemasyhuran serta populariti pada 1970-an.
Empat orang menerima Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran 'Datuk'.
Mereka ialah Datuk Musa Sheikh Fadzir, anggota panel pelaburan Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Datuk Abdul Rahman Abdul Hamid, bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Johor, Datuk Ali Mohamed dan Timbalan Presiden St John Ambulans Kawasan Barat Daya Pulau Pinang, Datuk Jamilah Wahab.
Senator Osman Bungsu menerima Johan Mangku Negara (JMN) bersama enam lagi penerima.
Sepuluh orang menerima Johan Setia Mahkota, 46 menerima Kesatria Mangku Negara, 88 menerima Ahli Mangku Negara dan 131 orang menerima Pingat Pangkuan Negara. - Bernama