SHAH ALAM - Pesta buku bahasa Melayu terbesar di Malaysia, Negara Buku Mega kembali lagi tahun ini yang bakal berlangsung selama 60 jam tanpa henti bermula Jumaat ini di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15, di sini.
Menariknya, pesta buku kali ini bakal menghimpunkan 50 penerbit tempatan melibatkan 100,000 judul menerusi 12 genre pada harga RM10 bagi setiap buku.
Ketua Pegawai Eksekutif Negara Buku Mega, Zulhilmi Daud berkata, lokasi pesta buku itu juga diperluaskan bukan sahaja studio F, tetapi juga melibatkan Auditorium Karangkraf kerana pertambahan jumlah penerbit terlibat.
Ketua Pegawai Eksekutif Negara Buku Mega, Zulhilmi Daud
Katanya, Negara Buku Mega yang memasuki edisi kedua tahun ini menyasarkan lebih 100,000 pengunjung, berbanding 70,000 orang tahun lalu. "Alhamdulillah sambutan pelanggan yang datang tahun lepas sangat luar biasa dan kita tak jangkakan begitu. Disebabkan itu Negara Buku Mega diteruskan kerana permintaan penerbit selain pelanggan yang mahukan buku pelbagai genre.
"Kali ini ada sebanyak 12 genre bahan bacaan diketengahkan antaranya akademik, kanak-kanak, novel, buku-buku umum, travelog, puisi, bisnes dan politik yang melibatkan penerbit seperti Karangkraf, Sasbadi, Dubook Press, Thukul Cetak, Fixi dan Dewan Bahasa dan Pustaka," katanya.
Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan pengunjung datang walaupun dengan hanya memakai baju tidur.
"Bagi mereka yang datang dengan baju tidur paling kreatif, mereka berpeluang menerima RM200 tunai daripada penganjur. Pemenang akan dihubungi sebaik sahaja Negara Buku Mega berakhir," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd, Firdaus Hussamuddin berkata, sebagai tuan rumah buat kali kedua, Karangkraf tidak ketinggalan untuk mempromosikan koleksi bahan bacaan terbitan syarikat itu antaranya buku akademik terbitan Bestari Karangkraf, genre Islamik, umum dan buku-buku Didi & Friends serta Omar & Hana.
Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf Sdn Bhd, Firdaus Hussamuddin
"Kali ini, Karangkraf membawakan kira-kira 35 palet buku untuk pengunjung.
"Walaupun Jualan Gudang Akhir Tahun 2018 baharu sahaja berakhir, kita sambung Negara Buku Mega yang pastinya melibatkan 'crowd' yang pelbagai lapisan masyarakat memandangkan ramai penerbit di sini yang masing-masing punya peminat tersendiri," katanya.
Apabila Karangkraf diberi kepercayaan sekali lagi sebagai lokasi Negara Buku Mega kali kedua, beliau berkata, ia secara tidak langsung dapat membantu penerbit-penerbit untuk memasarkan produk mereka.
"Bila buat di tempat sendiri, kosnya tak mahal kerana kita hanya jual (ikut) palet (kepada penerbit buku). Kalau masuk pesta buku lain perlukan kos tapak yang besar yang mungkin terkesan kepada penerbit kecil untuk keluarkan sejumlah wang yang besar dengan keadaan ekonomi semasa ini.
"Karangkraf juga sememangnya sinonim dengan jualan gudang dan karnival. Justeru, pengalaman ini kita sama-sama gunakan dalam membantu jualan Negara Buku Mega. Tambahan pula, kita ada ruang parkir yang luas dan percuma, selain kemudahan bangunan berhawa dingin dan surau," katanya.
Firdaus berharap, pesta jualan Negara Buku Mega akan menjadi tempat lepak santai bagi golongan muda.
"Di sini kita ada sediakan ruangan bacaan sebagai tempat santai untuk mereka membaca," katanya.
Negara Buku Mega akan bermula Jumaat ini jam 9 pagi dan berakhir 9 malam pada hari Ahad.
|