POLIGLOT - ANTARA YANG FASIH DALAM BANYAK BAHASA
Poliglot ditakrifkan sebagai seseorang yang tahu ataupun berkemampuan untuk menggunakan beberapa bahasa. Pada tahun 2008, istilah “Hiperpoliglot” telah dicipta oleh ahli bahasa iaitu Richard Hudson untuk seseorang yang mampu bertutur sehingga tahap tertentu dalam sekurang-kurangnya 12 bahasa.
Perkataan “Poliglot” berasal daripada bahasa Inggeris “Polyglot”. “Polyglot” adalah kata pinjaman bahasa Perancis iaitu “Polyglotte”. Perkataan “Polyglotte” berasal daripada bahasa Yunani, “Poluglōttos”. Perkataan “Poluglōttos” dalam bahasa Yunani adalah gabungan daripada perkataan “polu-” dan “-glōtta” yang masing-masing bermaksud “banyak” dan “lidah”. Secara harfiahnya, poliglot adalah bermaksud “banyak lidah”.
Cleopatra VII dan al-Farabi adalah antara poliglot pada zaman abad pertengahan. Cleopatra VII (69SM – 30SM) merupakan Firaun terakhir Mesir Purba, baginda bertutur dalam sembilan bahasa dan baginda adalah satu-satunya pemerintah dalam dinasti yang mampu bertutur dalam bahasa Mesir Purba di samping bahasa ibundanya, Yunani. Al-Farabi (872 - 950/951) merupakan seorang polimath dari Parsi yang menguasai banyak bahasa.
Ratu England, Elizabeth I (1533-1603) mampu bertutur dalam 10 bahasa: Inggeris, Perancis, Sepanyol, Itali, Belanda, Latin, Welsh, Cornish, Scot dan Irish malah kata Duta kerajaan Venetia pada masa itu, baginda bertutur seolah-olah seperti bahasa ibunda. Selain itu, Nikola Tesla (1856 - 1943) mampu bertutur dalam lapan bahasa: Serbo-Croatia, Slovenia, Czech, Inggeris, Perancis, Jerman, Magyar, Itali dan Latin.
Ling Tan dan Jackson Wang adalah antara wakil Asia yang dianggap sebagai poliglot. Ling Tan merupakan supermodel kelahiran Malaysia yang bertutur dalam bahasa Melayu, Inggeris dan empat bahasa Cina yang lain. Jackson Wang adalah seorang penyanyi, penyanyi rap dan penari dari Hong Kong yang merupakan ahli kumpulan Got 7 yang fasih bertutur dalam bahasa Kantonis, Korea, Mandarin, Inggeris, Shanghai, Jepun dan sedikit bahasa Perancis.
José Rizal (1861–1896) adalah seorang pejuang di Filipina. Beliau mempu bertutur dalam 22 bahasa termasuk Sepanyol, Perancis, Latin, Yunani, Jerman, Portugis, Itali, Inggeris, Belanda dan Jepun. Malah, Rizal juga mempunyai sedikit pengetahuan dalam bahasa Melayu dan sebahagian bahasa-bahasa Filipina seperti Chavacano, Cebuano, Ilocano dan Subanon.
José Mourinho dan Arsène Wenger adalah antara orang Eropah yang dianggap sebagai poliglot. Mourinho adalah seorang pengurus pasukan bola sepak di Portugal yang fasih dalam bahasa Portugis (Bahasa Ibunda), Sepanyol, Itali, Perancis, Katala dan Inggeris. Wenger adalah seorang pengurus pasukan Arsenal F.C yang bertutur dalam bahasa Perancis (Bahasa Ibunda) dan Jerman (Bahasa Ibunda), beliau juga mempelajari bahasa Inggeris, Sepanyol dan Itali serta mengetahui sedikit bahasa Jepun.
Timothy Doner dan Shakira adalah antara orang Amerika yang dianggap sebagai poliglot. Timothy Doner adalah seorang remaja dari Amerika Syarikat yang lahir pada tahun 1995: beliau dikatakan mampu bertutur dalam lebih 20 bahasa termasuk Inggeris (Bahasa ibunda), Indonesia, Perancis, Ibrani, Turki dan sebagainya. Shakira yang terkenal dengan lagu Waka Waka fasih bertutur dalam enam bahasa iaitu Sepanyol (Bahasa Ibunda), Portugis, Perancis, Itali, Inggeris dan Arab.
Dikember Mutombo, Ghil’ad Zuckermann dan Eliana Rubashkyn dianggap sebagai poliglot yang masing-masing berasal dari Afrika, Israel dan Oceania. Mutombo adalah bekas pemain NBA yang mampu bertutur dalam bahasa Inggeris, Perancis, Portugis, Sepanyol, Tshiluba, Swahili, Lingala dan dua bahasa dari Afrika tengah. Ghil’ad Zuckermann adalah ahli bahasa yang dianggap hiperpoliglot. Eliana Rubashkyn adalah seorang ahli farmasi yang mampu bertutur dalam enam bahasa: Sepanyol, Rusia, Mandarin, Inggeris, Portugis dan Ibrani (Hebrew).
Akhir kata, terang lagi bersuluh: terlalu ramai individu daripada pelbagai latar belakang sepanjang zaman yang fasih bertutur dalam banyak bahasa. Walaupun terdapat banyak pertikaian daripada pelbagai pihak mengenai istilah "fasih", namun sesungguhnya banyak kelebihan yang akan diperoleh jika fasih dalam banyak bahasa. Semoga, penulisan ini akan menggalakkan semua orang termasuk diri sendiri untuk menguasai sebanyak mana bahasa di seluruh dunia di samping hebat dalam pelbagai bidang.
Sumber: Alam Bahasa
|