View: 3700|Reply: 1
|
[Pelbagai]
Pasar Buku Palasari, Bandung: Syurga pecandu buku
[Copy link]
|
|
Penulis di hadapan papan tanda Pasar Palasari
KOTA Bandung memang terkenal sebagai pusat kunjungan pelancong, pusat kulinari dan rumah fesyen yang terkenal. Cuaca dingin menambah aura dan pesona kota ini.
Jika ke kawasan tanah tinggi, pasti kita terhibur dengan kawasan menarik seperti Kawah Putih, taman rekreasi, memetik strawberi dan menikmati kehijauan perkebunan teh.
Sambil menghirup secangkir teh atau kopi, aromanya pasti sahaja membenihkan ilham dan inspirasi bagi pengembara yang mencari ruang makna diri dan erti sebuah kehidupan!
Namun, jangan lupa Bandung juga terkenal dengan julukan kota seribu buku. Terletak di Jalan Palasari (Lodaya), terdapat satu kawasan menempatkan deretan kedai buku.
Berpuluh-puluh sehingga jenuh dan letih untuk kita menghabiskan semua sekali. Mata pun jadi rambang melihat deretan gerai buku dan timbunan buku dari peringkat sekolah hingga universiti, karya-karya langka, sastera, bahasa, budaya, politik, agama, falsafah, kamus dan majalah. Cari sahaja perlahan-lahan sesuai minat dan jelira rasa.
Petang itu sekitar pertengahan Disember 2019, dalam cuaca dingin kota wisata Bandung diringi hujan rintik-rintik, penulis singgah untuk menjenguk Pasar Buku tersohor ini.
Diberitakan Pasar Buku Palasari bermula sejak 1980an, kebanyakan peniaga buku di sini berasal orang Padang. Sejarah pasar buku ini jauh lebih awal dari takwim tersebut, iaitu sekitar 1950an apabila sekumpulan pedagang memulakan jualan buku di Cikapundung, tidak jauh dari kawasan Alun-Alun.
Kawasan pasar buku ini dikhabarkan pernah terbakar pada tahun 1993, tetapi pemerintah kota (pemkot) kembali menghidupkan kawasan tersebut kerana nyata ia bukan sekadar tarikan pengemar buku, pelancong atau orang ramai.
Buku sinonim dengan perkembangan budaya ilmu, sendi pembangunan tamadun dan peradaban sesebuah bangsa. Buku mencelik akal, mencerdas minda dan sekali gus menghidupkan nurani yang malap.
Tidak syak lagi, kewujudan sebuah pasar buku seperti di Palasari memberi makna atas kejituan roh sesebuah kota wisata seperti Bandung. Orang berkunjung bukan sekadar mencari fesyen terbaharu atau jenama unggul, tetapi juga mencari ilmu, memperkaya pengalaman dan mempelajari seni budaya.
Ingatan penulis segera melayang ketika bergelar sebagai penuntut di Wales, United Kingdom sekitar tahun 1995-96 apabila berpeluang menziarahi salah sebuah pekan buku tersohor di dunia, Hay-on-Wye terletak dalam wilayah Wales.
Jelas, betapa asyik masyuk kita berada dalam sebuah pekan yang keseluruhannya hanyalah buku dan buku! Sama seperti kita berada di pekan elektrik dan elektronik Akihabara di Jepun, hanya barangan elektrik dan elektronik semata-mata!
Di Palasari, harga buku jauh lebih rendah berbanding kedai buku biasa. Kita berpeluang mendapatkan harga diskaun dan tawar-menawar dengan penjual buku. Yang penting, pilihan kita cukup luas dan rambang, pilih sahaja judul yang sesuai.
Barangkali jika meminati karya seni, budaya dan sastera Melayu Indonesia, anda boleh sahaja bertanya kepada penjual buku. Begitu juga jika anda sudah mula berjinak-jinak dengan falsafah dan pemikiran, agama atau teologi, cari dengan cermat dan teliti kerana susunan bukunya bertimbun di celahan rak-rak buku.
Berada di situ sekitar satu jam hanyalah ibarat sebuah dongengan fantasi, malah dua jam pun kita berasa sulit untuk berpisah. Meminati buku apa lagi membaca buku ternyata memberi manfaat kepada peminatnya.
Penulisan sesebuah buku menghimpun koleksi fikiran, idea, inspirasi dan hikmah sang pengarang. Kita tidak pun perlu bersusah-payah seperti tugas asal pengarang, melainkan menikmati sahaja hasil karya tersebut dan mencedok sedalam-dalamnya kebijaksanaan yang terkandung.
Nanti ditakdirkan pandemik Covid-19 berakhir dan Perintah Kawalan Pergerakan ditarik-balik, mungkin kita semua berpeluang untuk berlibur ke kota Bandung.
Jangan lupa berkunjung ke Pasar Buku Palasari. Jangan lupa membeli buku dan teruskan membaca. Membaca tetap sahaja memperkaya minda. Sambil itu, anda mungkin tersenyum sambil menikmati secangkir kopi asli Bandung! – MalaysiaGazette
Penulis, Mohd. Shah Abdullah bertugas sebagai Ketua Jabatan Komunikasi dan Pensyarah Kanan, Manipal International University (MIU), Nilai. Beliau berkunjung ke kota Bandung bersama keluarga pada Disember 2019, mengisi misi membeli buku-buku di Pasar Buku Palasari.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
InsyaAllah.
Harap2 ade kesempatan nak ke sini |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|