Murga akan mengisi kuota import pemain ASEAN.
Malik Muhamad
[email protected]
KUALA TERENGGANU: Selang beberapa jam mengumumkan penyertaan pemain kelahiran Namibia, Petrus Shitembi, Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd memperkenalkan pemain import kedua pasukan Terengganu FC (TFC), Carli De Murga dalam laman sosial kelab itu hari ini.
Turut diperkenalkan pemain kelahiran Kyoto, Jepun, Masaki Watanabe yang bakal menyarung jersi pasukan 'adik' Terengganu FC II (TFC II) musim depan yang dibimbing pengendali baharu, Badrul Afzan Razali menggantikan Roshadi Wahab.
"Kedua-dua pemain itu diikat kontrak setahun.
"Murga pemain berdarah campuran Filipina dan Sepanyol akan mengisi kuota pemain import ASEAN menggantikan pemain kelahiran Singapura, Muhammad Faris Ramli yang tidak disambung kontrak.
"Watanabe pula bakal mengisi pemain import kuota Asia menggantikan penyerang TFC II sebelum ini kelahiran Brazil yang mendapat taraf kerakyatan Jepun, Bruno Suzuki," demikian menurut kenyataan itu.
Kehadiran bekas pemain pertahanan Filipina yang terkenal corak permainan keras itu pasti bakal memberikan impak yang positif kepada skuad kendalian Nafuzi Zain terutama apabila pasukan itu bakal beraksi di pentas Asia.
Malah pengalaman Murga yang juga pernah beraksi bersama kelab Chonburi FC dalam Liga Thailand selain pernah bermain dalam saingan Piala AFC bakal menjadi aset berguna buat pemain muda TFC untuk menimba pengalaman dengan pemain itu.
Murga bakal mengisi posisi pertahanan tengah TFC yang sebelum ini menjadi milik pemain kelahiran Senegal, Babacar Diallo yang tidak disambung kontrak manakala Watanabe bakal bergandingan dengan pemain import musim ini kelahiran Montenegro yang dikekalkan, Argzim Redzovic juga di jentera pertahanan. |