Liridon (tiga dari kanan) dikaitkan dengan kelab A-League, Newcastle Jets. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Harian Metro
Firdaus Hashim
[email protected]
Kuala Lumpur: Tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT), Liridon Krasniqi dikhabarkan bakal dipinjamkan ke kelab Newscastle Jets di Australia bagi memberi minit permainan yang lebih buat pemain naturalisasi Harimau Malaya itu.
Selain Liridon, seorang lagi pemain JDT iaitu Syahiran Abimanyu dari Indonesia turut dikaitkan dengan kelab yang beraksi dalam A-League itu.
Khabar ingin itu dikongsikan di laman Twitter Soccer Stoppage Time dari Australia.
Meskipun masih belum ada pengumuman rasmi daripada skuad Harimau Selatan mengenai spekulasi itu, perancangan untuk meletakkan Liridon di Newscastle Jets sudah pastinya memberi manfaat terutama dalam mendapatkan semula sentuhannya selepas lama duduk di bangku simpanan.
Sementara itu, JDT mengesahkan bakal membina pusat latihan baharu bersebelahan Stadium Sultan Ibrahim pertengahan tahun ini.
Menerusi laman Facebook rasmi pasukan, Johor Southern Tigers (JST), rekaan pusat latihan itu dianggap unik dan serba moden.
"Projek pembinaan Pusat Latihan Kelab JDT baharu bersebelahan Stadium Sultan Ibrahim akan dimulakan dengan upacara pecah tanah selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir dan akan mula dibangunkan pada pertengahan tahun ini.
"Untuk makluman, semua fasiliti JDT seperti Stadium Sultan Ibrahim, Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam dan pusat latihan baharu ini adalah hasil idea dan rekaan oleh pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
"Fasiliti latihan baharu JDT ini akan mempunyai 'design' unik yang akan menjadi satu kebanggaan kepada semua peminat JDT. Luaskan Kuasamu Johor." |