Pengurus Chelsea, Frank Lampard mahu pemainnya patuh kepada protokol COVID-19 dalam latihan serta perlawanan sebenar. - AFP
Berita Harian
LONDON: Frank Lampard mendedahkan dia akan memberitahu bintang Chelsea supaya tidak meraikan jaringan dalam latihan selepas wujud kebimbangan berpelukan dalam kumpulan boleh menyebarkan COVID-19.
Ketua Liga Perdana sudah memberi amaran supaya tidak melakukan perkara berkenaan seiring dengan protokol ketat COVID-19 selepas pandemik berkenaan semakin memuncak di Britain.
Pengurus Chelsea, Lampard percaya pemain perlu membendung naluri normal untuk meraikan kejayaan selepas meledak gol dalam perlawanan.
Dia bercadang untuk mengurangkan sambutan dalam latihan bagi mengubah minda pasukannya dalam isu berkenaan.
Ditanya sama ada Chelsea akan berhenti meraikan jaringan ketika latihan, Lampard berkata: "Benar, mungkin kami akan lakukan. Kami memang serius, kami berlatih jarak sosial sebanyak mungkin di pusat latihan.
"Di padang latihan ia boleh menjadi sukar, kerana anda perlu berlatih dan rapat antara satu sama lain.
"Namun pada setiap ketika yang anda boleh dan dalam latihan, anda perlu melakukannya, saya berharap, sama seperti dalam perlawanan apabila anda menjaringkan gol dalam Liga Perdana, menang perlawanan atau apa sahaja.
"Setakat ini pasti saya akan sampaikan pada pemain, dan anda boleh lihat kumpulan pemain ini berpelukan apabila mereka menang lawan lima sepasukan (dalam latihan) jadi kita akan lihat perkara itu." |