Penyerang Real Madrid Eden Hazard (tengah) meraikan jaringan dengan rakan sepasukan ketika aksi La Liga menentang Alaves di Stadium Mendizorroza, Vitoria. - Foto AFP
Berita Harian
MADRID: Eden Hazard meledak satu gol dan membuat umpanan untuk satu lagi jaringan ketika Real Madrid membelasah Alaves 4-1, sekali gus meredakan tekanan ke atas pengendalinya Zinedine Zidane yang dikuarantin akibat positif COVID-19.
Kedudukan Zidane mula diperkatakan selepas kekalahan kepada kelab divisyen tiga Alcoyano dalam saingan Piala Raja Sepanyol Rabu lalu, tetapi Madrid bangkit di Mendizorozza tanpa pengendalinya itu, serta kapten Sergio Ramos yang cedera di bahagian lutut.
Jaringan Casemiro, Karim Benzema dan Hazard meletakkan Madrid tiga gol di depan sebelum rehat.
Alaves cuba bangkit menerusi tandukan Joselu tetapi Benzema meledak gol keduanya pada perlawanan itu untuk memastikan kemenangan buat Madrid.
Ia adalah kemenangan kedua Madrid dalam enam perlawanan dan meletakkan mereka empat mata di belakang Atletico Madrid yang akan turun menentang Valencia hari ini.
Zidane diuji positif Jumaat lalu, dan tugasnya digalas penolong jurulatih David Bettoni yang dilihat menggunakan telefon di babak kedua.
Bettoni kemudian mengeluarkan Hazard tetapi bintang Belgium itu sudah membuktikan prestasi sebenarnya susulan permulaan suram di Sepanyol.
Pemain 28 tahun itu baru meledak tiga gol La Liga dan gol liga pertama di tempat lawan sejak menyertai Real Madrid dari Chelsea setahun setengah lalu. |