Norul Maslindaniza menunjukkan borang permohonan nikahnya yang akan diadakan pada bulan depan. Foto Abnor Hamizam
Harian Metro
Abnor Hamizam Abd Manap
[email protected]
Jelebu: Wanita yang bakal melangsungkan pernikahan, mencari adik kandungnya selepas terpisah sejak 16 tahun lalu untuk menjadi wali bagi urusan pernikahannya pada bulan depan.
Norul Maslindaniza Irwani Jamaluddin, 42, berharap dapat berjumpa dengan adiknya, Norul Irwan Shah, 35, yang tidak ketahui berada di mana ketika ini.
Norul Maslindaniza dari Kuala Klawang mendakwa masalah keluarga menjadi punca perpisahannya dengan tiga adik-beradiknya termasuk Norul Irwan Shah.
Menurutnya, dia sudah lama melupakan sengketa yang berlaku dalam keluarganya dan berusaha mencari mereka.
"Saya pernah mencari mereka di Balakong, tempat tinggal terakhir saya sebelum keluar rumah namun tidak berjaya malah menurut jiran terdekat, mereka juga tidak mengetahui di mana ahli keluarga saya berada.
"Saya juga dimaklumkan jiran itu bahawa ibu, Normah Abd Karim yang kini berusia 62 masih hidup dan tinggal bersama adik-beradik lain.
"Ketika membuat semakan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengesan ahli keluarga, saya dimaklumkan ayah sudah meninggal dunia pada 2009," katanya ketika ditemui.
Menurutnya, dia sudah mendaftarkan perkahwinan di Pejabat Agama Islam Jelebu termasuk permohonan wali hakim namun masih berharap menemui adik bagi menjadi wali pernikahannya.
Norul Maslindaniza berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat keluarganya dan jika ada adik-beradiknya yang lain mengetahuinya boleh menghubunginya di talian 011-28544236. |