Gabriel Jesus meledak gol tunggal Manchester City ketika berdepan Sheffield United di Manchester, Britain. - EPA
Berita Harian
LONDON: Manchester City membuka jurang tiga mata di persada Liga Perdana bersama satu perlawanan dalam tangan ketika skuad kendalian Pep Guardiola menewaskan Sheffield United 1-0 manakala Manchester United seri tanpa jaringan berdepan Arsenal.
Gabriel Jesus meledak jaringan tunggal pada 10 minit pertama di Etihad ketika City melebarkan rentetan kemenangan mereka kepada 12 perlawanan membabitkan semua kejohanan.
Ferran Torres dan Jesus adalah antara lima perubahan dilakukan Guardiola dan mereka bergabung mencari gol ketika pemain Brazil itu meledak buat kali pertama dalam Liga Perdana sejak November.
City gagal mengukuhkan kedudukan selepas itu tetapi selesa bertahan tanpa bolos buat kali ke-15 dalam 19 perlawanan.
"Orang merasakan jika kami menang perlawanan terakhir 5-0, kami akan menang perlawanan ini juga 5-0. Ini dunia sebenar, bukan kisah dongeng," kata pengurus City, Pep Guardiola.
"Hari ini apabila saya melihat Sheffield berada di bawah liga. Anda melihat pasukan itu dan sedar betapa susah Liga Perdana."
Aston Villa pula mara di atas Gunners ke kedudukan kelapan selepas tandukan Ross Barkley memberikan kemenangan 1-0 di Southampton.
Sementara itu, Newcastle keluar daripada zon penyingkiran dengan kemenangan pertama dalam 12 perlawanan, menewaskan Everton 2-0 manakala dua pasukan bawahan, West Brom dan Fulham seri 2-2. |