Penyerang Dortmund Erling Braut Haaland meraikan jaringan ketika menentang Sevilla dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan. - Foto AFP
Berita Harian
SEVILLE, Sepanyol: Erling Braut Haaland meledak dua gol di babak pertama ketika membantu Borussia Dortmund bangkit menewaskan Sevilla 3-2 dalam aksi 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan.
Suso meletakkan juara Liga Europa musim lalu itu di depan tetapi Mahmoud Dahoud kembali menyamakan kedudukan sebelum Haaland memastikan kemenangan.
Penyerang Norway itu meletakkan Dortmund di depan pada minit ke-27 dan sekali lagi membuktikan ketajamannya dua minit sebelum rehat untuk jaringan ke-25 dalam 24 penampilan di semua pertandingan musim ini.
Haaland, 20, sudah meledak 18 gol dalam 13 penampilan Liga Juara-Juara sejak permulaan musim lalu.
Pemain gantian Luuk de Jong merapatkan jurang buat Sevilla bagi menghidupkan peluang pada aksi timbal balik 9 Mac ini.
"Kami tidak sepatutnya kalah, tetapi mereka mempunyai salah seorang penyerang terbaik dunia dan dia membawa perbezaan dalam tiga situasi yang sepatutnya boleh dielakkan," kata pengendali Sevilla Julen Lopetegui.
Haaland turut membuat umpanan untuk jaringan penyamaan Dahoud di babak pertama.
"Ini antara persembahan terbaik kami musim ini. Kami gembira dengan keputusan ini dan bangga dapat menewaskan pasukan seperti itu," kata pengendali Dortmund Edin Terzic yang menggantikan Lucien Favre. |