KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata aplikasi eWallet, Sarawak Pay kini dikenali SPay Global sesuai dengan fungsinya sebagai pembayaran tanpa tunai di luar negara yang menerima transaksi UnionPay.
Menurutnya, sekarang adalah masa yang tepat untuk menjenamakan semula agar ia diterima di seluruh dunia.
"Ini satu hari yang agak bersejarah untuk Sarawak malah negara, kerana kita mempunyai pembayaran eWallet, Sarawak Pay sekarang kita bekerja sama dengan Union Pay International yang mempunyai liputan di seluruh dunia.
"Maknanya kita boleh berbelanja di negara-negara menerima atau mengguna pakai transaksi UnionPay," katanya pada sidang media di sini, selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kad Maya UnionPay menerusi Sarawak Pay di sini, hari ini.
Abang Johari berkata antara negara yang menerima UnionPay ialah Kesatuan Eropah termasuk England, China, India, Hong Kong, Korea, Singapura, Indonesia, Malaysia dan Thailand.
"Dua tahun lalu ketika saya berkunjung ke Shanghai China, saya telah menandatangani perjanjian bagi pihak Sarawak Pay dengan Union Pay International, bermakna sistemnya telah disatukan QR kodnya yang boleh menerima kad Sarawak Pay.
"Selain itu, pelancong dari negara yang menerima transaksi UnionPay, misalnya seperti Singapura boleh berbelanja di Sarawak. Ini sudah tentu membolehkan kemasukan pelancong ke negeri ini selepas pandemik (COVID-19) jika ada pengurusan gelembung pelancongan antara Sarawak dan Singapura," jelasnya.
Beliau berkata bagi membolehkan SPay Global digunakan secara meluas, kerajaan negeri telah memohon kelulusan daripada Bank Negara untuk meningkatkan nilai maksimumnya kepada 1,000 Euro atau kira-kira RM6,000.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Abang Johari berkata Sarawak telah memulakan inisiatif ekonomi digital pada 2017, mendahului semua negeri di Malaysia.
Menurutnya berdasarkan trend semasa, Sarawak di landasan yang tepat ke arah pendigitalan malah ia telah diperakui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap merasmikan Rangka Tindak Ekonomi Digital Malaysia baru-baru ini.
"Sehingga hari ini, hampir RM1 bilion transaksi menggunakan Sarawak Pay dan kini Sarawak Pay digunakan oleh 496,000 pengguna dan hampir 70,000 peniaga di Sarawak menerima Sarawak Pay.
"Saya berterima kasih kepada Bank Negara kerana meluluskan integrasi antara Union Pay dan Sarawak Pay di landasan antarabangsa, pencapaian bersejarah buat Sarawak dan UnionPay," ujarnya.
Hadir sama, Pengerusi Sains Datuk Patinggi Dr George Chan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Dr Sabariah Putit dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak Tan Sri Abdul Aziz Husain.
kredit: utusansarawak 4/3/2021