Chelsea mendapat sepakan penalti selepas penjaga gol Everton, Jordan Pickford menjatuhkan pemain Chelsea, Kai Havertz pada aksi EPL di Stadium Stamford, London. Chelsea menang 2-0. - Foto AFP.
Berita Harian
LONDON: Chelsea mengesahkan kedudukan di tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila Kai Havertz akhirnya menampilkan permainan terbaik ketika menang 2-0 berdepan Everton, di sini, sebentar tadi.
Havertz melalui musim sulung mengecewakan selepas perpindahan bernilai 70 juta pound (RM397.39 juta) dari Bayer Leverkusen tahun lalu.
Namun pemain tengah Jerman itu diberikan permulaan oleh bos Chelsea, Thomas Tuchel dan dia membalasnya dengan memainkan peranan utama untuk dua gol di Stamford Bridge.
Cubaan Havertz menerjah gawang Everton selepas terkena Ben Godfrey untuk gol sendiri lawan pada babak pertama.
Pemain berusia 21 tahun itu tidak meledak jaringan sejak Oktober tapi Tuchel memberikannya peranan penting di Chelsea.
Pergerakan bijak pemain itu berjaya menghasilkan penalti babak kedua yang disempurnakan Jorginho.
"Kami berhak menang, kami memang menguasai sepenuhnya," kata Tuchel.
"Pada babak kedua kami meningkatkan tahap kami dan banyak melakukan serangan bahaya.
"Sangat gembira dengan Kai. Ia adalah kepercayaan yang kami berikan. Dia menggunakan kepercayaan itu. Dia adalah pemain yang ada semua kebolehan untuk menjadi pemain dominan di bahagian serangan dan dia semakin meningkat." |