View: 980|Reply: 0
|
Mana Pemain Bola Wanita?
[Copy link]
|
|
Projek MM
Yuslaini Azmi
8 MAC — Beberapa minggu lepas saya ada mendengar kisah seorang lagi pemain bola sepak wanita yang menempa nama di negara Sepanyol iaitu Berlin Leong atau Leong Xin Yang, 19, yang bermain bersama skuad wanita kedua C.F Pozuelo.
Sebelum ini kita dikejutkan dengan berita seorang anak gadis berusia 15 tahun, Celine Chuang yang mencipta nama di Jerman apabila dipilih untuk menyertai bermain bersama pasukan U-17 Bayern Munich. Sebagai rakyat Malaysia sudah pasti saya berbangga dengan pencapaian anak jati Malaysia ini.
Namun saya hairan dengan sikap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang sekadar mengucapkan tahniah tanpa ada pelan perancangan jangka panjang untuk memperkasakan skuad bola sepak wanita negara?
Sikap oportunis yang hanya mengucapkan tahniah apabila seseorang pemain mencipta nama di negara luar tetapi tidak pula mereka bertanya pada diri mereka sendiri apa yang perlu dilakukan untuk mencungkil bakat-bakat pemain bola sepak wanita.
Saya mengharapkan FAM dapat melakukan sesuatu bagi mengangkat pemain bola sepak wanita ini setaraf dengan pemain bola sepak lelaki namun sehingga sekarang tiada usaha ke arah itu malah hari ini saya yakin tiada siapa mengenali pemain bola sepak wanita negara dek kerana tiada pendedahan di media massa mahupun media elektronik.
Jika kita sorot kalendar FAM itu sendiri mereka lebih tertumpu kepada pemain bola sepak lelaki berbanding wanita malah sehingga sekarang saya belum pernah mendengar apa-apa berkenaan kelab tempatan bagi bola sepak wanita yang ada cuma mewakili negeri masing-masing dan anjuran kejohanan cuma satu dua sahaja contohnya Piala Tun Sharifah Rodziah.
Pemain bola sepak wanita negara juga lebih bersikap amatur dan semi-pro kerana kurangnya kejohanan kompetitif di dalam negara.
Sebelum ini ada juga cadangan untuk mengangkat Piala Tun Sharifah Rodziah setaraf dengan Liga Malaysia (Liga M), namun sehingga sekarang tiada apa-apa perkembangan mengenainya.
Pengenalan berformatkan liga ini juga sebenarnya adalah salah satu langkah untuk memprofesionalkan pemain bola sepak wanita.
Jika FAM benar-benar fokus untuk mengangkat pemain bola sepak wanita setanding dengan lelaki sudah tentu ada usaha ke arah itu, namun yang saya lihat tiada apa-apa perkembangan mengenainya.
Cadangan saya supaya Akademi Mokhtar Dahari dibuka untuk melatih pemain bola sepak wanita negara bukan sekadar tertumpu pada pencarian bakat baharu pemain bola sepak lelaki sahaja.
Selain itu, pelbagaikan kejohanan di peringkat tempatan membabitkan bola sepak wanita dan mempromosikan kejohanan tersebut di media dan juga membuat satu pertandingan bola sepak wanita berformatkan liga yang lebih berstruktur.
Sudah tentu FAM memerlukan bantuan daripada pengurusan negeri selain pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menjadikan ia bukan sekadar angan-angan. Semua pihak juga perlu memainkan peranan bagi mengangkat bola sepak wanita ke satu tahap yang lebih baik.
Sempena Hari Wanita Sedunia ini, saya mengimpikan segala bentuk kejohanan antarabangsa melibatkan atlet lelaki atau wanita di Malaysia tidak kiralah dalam sukan bola sepak atau apa jenis sukan pun diberikan tumpuan sama adil oleh setiap persatuan sukan.
* Yuslaini Azmi adalah Ketua Wanita AMK Terengganu.
** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|