Pemain PJ City, Kugan Dhevarajan (dua dari kanan) meraikan jaringan gol bersama rakan pasukan ketika perlawanan Liga Super 2021 antara PJ City menentang Sri Pahang di Stadium MBPJ. - FOTO ASYRAF HAMZAH
Berita Harian
Zulfaizan Mansor
[email protected]
KUALA LUMPUR: Sri Pahang FC sekali lagi mengalami mimpi ngeri di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) apabila tewas 0-1 di tangan PJ City FC, sebentar tadi.
Ia kekalahan kedua yang dialami skuad Tok Gajah di Stadium MBPJ musim ini selepas turut kecundang 3-1 di tangan Selangor FC pada aksi sulung Liga Super di gelanggang sama, awal bulan ini.
Lebih perit, kekalahan berdepan PJ City yang 100 peratus dibarisi pemain tempatan menyaksikan Sri Pahang kembali ke zon penyingkiran apabila jatuh ke tangga ke-11 selepas hanya mengumpul empat mata dalam lima perlawanan.
Pemain muda, D Kugan boleh dianggap wira PJ City apabila jaringannya pada minit ke-33 memberikan tiga mata berharga buat skuad P Maniam dan membolehkan mereka naik ke tangga kelima liga.
Pahang yang berusaha keras mencari gol penyamaan gagal memecah kebuntuan hingga wisel penamat walaupun melakukan beberapa percubaan terutama menerusi sepakan percuma Lee Tuck pada minit ke-55 yang sekadar menggegar palang gol. |