![](https://img-s-msn-com.akamaized.net/tenant/amp/entityid/BB1eRVeV.img?h=533&w=799&m=6&q=60&o=f&l=f&x=473&y=255)
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kiri) bersama rakan sejawatannya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan pada sidang media bersama selepas mesyuarat dua hala di Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian
Luqman Arif Abdul Karim
[email protected]
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura akan merintis usaha untuk memperakui sijil vaksinasi kedua-dua negara bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan pada masa depan.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan rakan sejawatannya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, menerusi kenyataan bersama menzahirkan komitmen sedemikian selepas mengadakan pertemuan di Putrajaya, hari ini.
Persetujuan bersama turut dicapai ke arah tekad menyediakan bekalan suntikan vaksin kepada warga Malaysia yang sudah lama menetap di Singapura dan layanan sama bakal diberi kepada penduduk republik itu di Malaysia.
"Kedua-dua negara akan menghidupkan semula perjalanan rentas sempadan, selain Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang-Alik Berkala (PCA).
"Ini dengan mengambil kira situasi semasa COVID-19 di kedua-dua negara dan memastikan kesihatan awam serta keselamatan penduduk sentiasa terjamin," kata kedua-dua pemimpin dalam kenyataan itu, hari ini.
Hishammuddin dan Balakrishnan turut menjelaskan, perincian lanjut berhubung Perakuan Timbal Balik Sijil Vaksinasi antara Malaysia serta Singapura bagi memudahkan perjalanan rentas sempadan akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.
Kedua-dua pemimpin berkata, antara perkara bakal diperhalusi dalam perakuan berkenaan mencakupi protokol kesihatan, prasyarat tertentu dan proses berkaitan perjalanan keluar masuk Malaysia-Singapura.
"Wujud kepentingan untuk mengukuhkan kerjasama Malaysia-Singapura dalam mendepani rantaian cabaran yang tercetus berikutan pandemik COVID-19, termasuk menghidupkan semula pergerakan rentas rentas sempadan.
"Semua ini bakal diusahakan dengan mengutamakan aspek kesihatan awam dan keselamatan penduduk kedua-dua negara," katanya.
Dalam perkembangan lain, Hishammuddin dan Balakrishnan turut membincangkan usaha penganjuran Sidang Pemukiman Pemimpin ke-10 dengan Singapura menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah.
Selari Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan penyusutan angka kes harian, Malaysia-Singapura bersetuju untuk memulakan kembali rundingan dua hala secara bersemuka. |