KUCHING: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak yang dijadualkan tamat 13 April ini akan dilanjutkan sehingga 26 April 2021, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
Jawatankuasa menerusi kenyataan hari ini, berkata tempoh lanjutan PKPB itu dibuat setelah melihat dan menilai situasi kes positif yang masih tinggi di negeri ini.
“Hari ini, terdapat 211 kes baharu COVID-19 dikesan di Sarawak iaitu di daerah Bintulu (70), Sibu (35), Sarikei (21), Miri (19), Kuching (15), Sri Aman (8), Beluru (7), Kapit (6), Meradong (6) dan Limbang (6).
“Lain-lain kes dikesan di Samarahan (5), Subis (3), Bau (2), Marudi (2) dan masing-masing satu di Lubok Antu, Julau, Serian, Mukah, Dalat dan Tanjung Manis menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 18,707 kes.
“Manakala satu kematian baharu akibat COVID-19 direkodkan menjadikan jumlah kematian meningkat kepada seramai 117 orang,” katanya.
Memperincikan 211 kes baharu yang dilaporkan, 131 kes merupakan saringan individu yang mempunyai kontak kepada kes positif COVID-19, 45 kes saringan individu dalam kluster aktif sedia dan 17 kes saringan individu bergejala di fasiliti kesihatan.
Manakala 16 kes lagi merupakan lain-lain saringan di fasiliti kesihatan dan masing-masing satu kes melibatkan individu balik dari Emiriah Arab Bersatu dan dari negeri lain dalam Malaysia.
Mengenai kes kematian ke-117, ia melibatkan wanita tempatan berumur 83 tahun yang dimasukkan ke Hospital Miri kerana mengalami gejala demam dan kesukaran bernafas.
“Saringan ujian rt-PCR dibuat dan dikesan positif COVID-19 pada 28 Mac 2021. Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 7 April 2021,” katanya menambah kes juga mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi, kencing manis dan dislipidemia.
JPBNS turut memaklumkan terdapat 181 kes baharu yang pulih dan dibenarkan discaj iaitu dari Hospital Sibu (49), Hospital Miri (34), Hospital Umum Sarawak (31), Hospital Bintulu (27), PKRC Serian (19), Hospital Sarikei (8), PKRC di bawah Hospital Kapit (5), PKRC di bawah Hospital Sri Aman (5), PKRC di bawah Hospital Mukah (2) dan PKRC Betong(1).
Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang pulih atau dibenarkan discaj meningkat kepada 15,268 orang atau 81.62 peratus dari jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak.
Jumlah kes aktif yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di PKRC dan wad hospital adalah seramai 3,263 orang.
Manakala seramai 252 individu disyaki (PUI) baharu dilaporkan dan lapan PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal.
kredit : utusanborneo 2021-04-08T17:46:47+08:00