Bahasa Isyarat Berbeza Dalam Dunia, Bagaimana Orang Pekak Di Dalam Dunia Bersembang?
Zaman sekarang ni, orang kelainan upaya (OKU) seperti down syndrome, autisme, kerdil, pekak dan lain-lain pun dah boleh bekerja malah ada juga yang bekerjaya. Negara kita sendiri pun sudah membuka peluang pekerjaan bagi golongan-golongan ini, tidak kiralah sama ada sektor awam mahupun swasta.
Korang yang tengah baca ni, pernah tak berhadapan situasi berurusan dengan golongan-golongan OKU ni terutama sekali golongan pekak? Boleh jadi mendapat penghantar makanan Foodpanda atau GrabFood yang tidak boleh mendengar ni.
Bila dah berhadapan dengan situasi macam ni, mesti korang pun terciduk tak tahu nak bagi respon yang macam mana sebab jarang sekali berhadapan dengan mereka ni. Masa tu barulah terdetik nak belajar sekurangnya asas bahasa isyarat ni. Tapi, korang kena tahu dulu perkara-perkara ni sebelum belajar bahasa isyarat.
Bahasa Isyarat adalah berlainan mengikut negara?
Kalau korang nak tahu, terdapat lebih 300 bahasa isyarat yang berbeza wujud dalam dunia yang fana ni. Kesemua bahasa isyarat yang ada ni adalah berlainan mengikut negara masing-masing termasuklah negara kita. Bahasa isyarat rasmi negara kita ni dikenali sebagai Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) yang merupakan bahasa ibunda bagi golongan pekak di Malaysia.
Penggunaan bahasa isyarat telah lama dikesan sejak zaman prasejarah lagi, iaitu sebelum Masihi dan Renaissance. Namun, tiada siapa pun tahu dari mana mula-mula wujudnya penggunaan bahasa isyarat cuma dapat dipastikan yang rekod pertama mengenai bahasa isyarat berasal dari zaman Yunani Purba.
Hal ini adalah berdasarkan kenyataan dalam Cratylus Plato:
“Katakanlah kita tidak mempunyai suara atau lidah, dan ingin berkomunikasi antara satu sama lain, haruskah kita, sama seperti si pekak dan si bodoh, melakukan isyarat dengan tangan, dan kepala dan seluruh anggota badan?” – petikan kenyataan Socrates, dipetik dari The Patriots
Aristotle yang pernah menganggap orang pekak tak mempunyai kepintaran
Mesti korang terkejut kenapa ahli falsafah terkenal dunia cakap macam tu. Walaupun Socrates memberi kenyataan macam tu, dia masih lagi berpendapat yang golongan pekak ni mempunyai kepintaran. Kemudian, anak murid kepada Plato yang juga merupakan ahli falsafah terkenal, Aristotle pula membuat dakwaan yang mereka ni tidak boleh diajar kerana dianggap tidak berakal.
Kenyataan Aristotle mempengaruhi dunia selama beribu tahun. Pada zaman tersebut hak-hak kemanusiaan golongan pekak dan bisu dinafikan. Hak mereka sebagai warganegara, hak untuk beragama malah untuk berkahwin pun dinafikan kerana bimbang sifat pekak menjadi keturunan dalam keluarga. Mereka juga tidak mendapat hak pendidikan kerana dianggap tidak boleh diajar.
Tapi, bahasa isyarat terus berkembang sehingga abad keenam Masihi yang pada mulanya digunakan oleh komuniti keagamaan atas tujuan aktiviti bertafakur. Sejak itu, terhasillah huruf jari atau finger alphabet pada abad ke-13 Masihi seperti yang dinyatakan dalam Refugium Infirmorum oleh Melchor de Yedra pada tahun 1593.
Bahasa isyarat kemudian menjadi sebuah bahasa yang lengkap apabila Charles Michel de L’Eppe menubuhkan sebuah sekolah percuma yang bernama Institution Nationale des Sourds-Muets a Paris (The Royal Institution of Deaf-Mutes) untuk pelajar pekak pada 1760 dan mengajar bahasa isyarat dalam kurikulum sekolahnya.
Lepas tu, Laurent Clerc yang merupakan pelajar dari sekolah tersebut membuka sebuah sekolah bagi orang-orang pekak di Amerika bersama Thomas Gallaudet. Sekolah mereka pada mulanya cuma ada sembilan orang pelajar dan kemudian terus berkembang. Sekolah itu terus berkembang dan kini dikenali sebagai Gallaudet University.
Gallaudet University. Imej dari Ability Magazine.
Isyarat berbeza mengikut negara masing-masing
Macam yang kitorang bagitahu tadi, dalam dunia ni ada lebih dari 300 bahasa isyarat mengikut negara masing-masing. Jadi, korang ikutlah nak belajar bahasa isyarat mana mengikut negara korang menetap sekarang asalkan menggunakan sumber-sumber yang sahih sama ada secara percuma mahupun mengikuti kelas berbayar.
Arabic Sign Language. Imej dari Pinterest.
Contohnya di Malaysia, orang pekak di negara kita menggunakan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) untuk berkomunikasi. BIM merupakan bahasa ibunda bagi orang-orang pekak di Malaysia dan juga telah diiktiraf sebagai bahasa rasmi orang pekak di Malaysia melalui Akta Orang Kurang Upaya 2008 atau Akta 685.
BIM ni berbeza dengan bahasa-bahasa isyarat di negara lain seperti Bahasa Isyarat Indonesia (BISINDO), Bahasa Isyarat Australia (AUSLAN), Bahasa Isyarat British (BSL) dan lain-lain. Namun, BIM sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan Bahasa Isyarat Amerika (ASL) dan Bahasa Isyarat Perancis (LSF) kerana mereka dari keluarga yang sama.
Mesti korang terfikir kan macam kalau orang pekak berlainan negara berkomunikasi sesama mereka kalau bahasa isyarat mereka berbeza. Untuk pengetahuan korang, golongan pekak ini juga mempunyai…
Bahasa Isyarat Antarabangsa atau International Sign
Imej dari liveaboutdotcom.
Kami rasa penggunaan International Sign (IS) ni mungkin lebih kurang dengan penggunaan Bahasa Inggeris yang digunakan kebanyakkan orang seluruh dunia zaman sekarang ni. IS ni dicipta untuk digunakan dalam program-program antarabangsa macam Deaflympic yang mana melibatkan atlet-atlet dari pelbagai negara.
Namun, IS ni tak diiktirafkan sebagai sebuah bahasa pun malah masih perlu dikaji penggunaannya. Tapi yang menariknya, apabila pengguna ASL menggunakan IS mereka cenderung untuk mengadaptasi ASL dalam IS. Sama juga pengguna bahasa isyarat dari Eropah lebih cenderung untuk mengadaptasi bahasa isyarat negara mereka dalam IS.
Budaya komuniti pekak yang diekspolitasi
Kalau korang nak tahu, bukan semua orang boleh mengajar bahasa isyarat ni. Hanya orang pekak atau yang berkelayakan sahaja yang boleh mengajar bahasa isyarat ni. Hal ini disebabkan apabila orang mendengar mengajar bahasa isyarat, ia dianggap sebagai tidak menghormati budaya orang pekak.
Kalau tak bertauliah, tak perlulah mengajar. Imej dari giphy.
Bagi orang mendengar yang tahu menggunakan bahasa isyarat lebih disarankan untuk menjadi penterjemah sahaja sekaligus memberi peluang pekerjaan kepada orang pekak ni untuk mengajar bahasa mereka. Jadi, sama-sama boleh hidup.
Selain tu, korang boleh juga belajar dari anak-anak kepada orang pekak atau Children of Deaf Adults (CODA) sebab bahasa isyarat ni merupakan bahasa pertama mereka sejak lahir. Ini adalah kerana bahasa isyarat ni merupakan sebahagian dari budaya orang pekak.
Kalau ada minat dan kesempatan, boleh saja teruskan untuk belajar bahasa isyarat sebab tak rugi pun belajar bahasa isyarat ni walaupun sekadar asas sahaja. Tapi kalau korang dah pernah belajar bahasa isyarat dan teringin nak berlatih dengan orang pekak, korang boleh pergi ke Signing Starbuck Store di Bangsar Village atau di Pulau Pinang.