BEG tangan adalah aksesori paling dekat dengan wanita kerana tidak kira apa juga status anda ia menjadi pelengkap gaya paling asas dalam berfesyen. Malang sekali apabila kebanyakan wanita hanya sekadar memilih tas tangan kegemaran mereka berdasarkan jenama tanpa mengambil kira faktor bentuk badan sendiri.
Perunding Imej, Siti Mizalwa Idris, berkata beg tangan sebenarnya memainkan peranan penting terhadap penampilan seseorang.
Katanya, perkembangan media sosial memudahkan wanita mendapatkan beg tangan berjenama yang menjadi idaman semua dengan lebih mudah. Namun, jangan sekali-kali membazir membeli mengikut kehendak dan keinginan tanpa mengambil kira bentuk badan kerana silap gaya penampilan anda tidak menonjol biarpun mengenakan tas tangan berjenama mewah dan mahal.
"Anda perlu bijak untuk memastikan penampilan bukan saja tampak menarik tetapi aksesori pelengkap gaya yang dikenakan juga adalah seimbang dengan bentuk badan," katanya
Tip memilih tas tangan iaitu mengikut jenis bentuk tubuh.
1. Si kurus tinggi Beg tangan jenis hobo iaitu pendek dan lebar paling sesuai. Cuba elakkan beli shoulder bag jenis bertali pendek kerana ini akan kelihatan lebih rendah dari ketinggian sebenar. Jenis tote sesuai menyerlahkan penampilan manakala jenis genggam juga tidak akan mengecewakan anda.
2. Bertubuh kecil Beg yang besar memang tidak sesuai untuk mereka bertubuh kecil kerana akan menutup bentuk badan anda yang sudah sedia kecil. Elakkan beg sandang di bahu dengan tali panjang kerana ia akan membuatkan anda nampak lebih rendah. Beg tangan dari jenis tote cukup sesuai untuk menampakkan keseimbangan tubuh.
3. Bertubuh besar Jika anda berbadan besar sebaiknya cari beg yang berbentuk bersegi dan bersaiz besar supaya tidak akan kelihatan lebih besar daripada beg yang dibawa. Pastikan corak tidak terlalu kecil atau terlampau berwarna-warni. Pilih beg jenis lembut atau berbentuk bulat kerana ia akan menampakkan tubuh anda lebih besar.
4. 'A' shape atau jenis pir Biasanya mereka bertubuh jenis ini memiliki masalah agak besar di bahagian pinggul dan kecil di bahagian dada. Sebolehnya cuba alihkan perhatian ke bahagian lain di atas.
Jenis tali pendek sesuai untuk anda melindungi bahagian dada yang kecil dan memberikan keseimbangan terhadap keseluruhan bentuk tubuh. Perlu mengekal beg dari jenis sling kerana ia akan memberi perhatian di bahagian pinggul yang lebih besar.
Jenis beg tangan
1. Structured/Ladylike Biasanya bentuknya kukuh dan kekal walaupun tiada barang di dalamnya. Ia mempunyai tali kecil dan juga tali pilihan panjang yang mudah dicabut dan boleh digayakan di bahu. Sesuai untuk majlis formal dan ke pejabat.
2. Genggam Tidak bertali dan lebih selesa dipegang, ia lebih sesuai untuk majlis santai dan glamor.
3. Beg hobo Beg stail ini tidak berstruktur dan lembik dengan mempunyai satu tali yang biasanya disangkut pada bahu.
4. Beg messenger Biasanya bertali panjang dan boleh disandang atau dipakai silang pada badan. Sesuai digayakan ke pejabat atau untuk mengembara.
5. Beg satchel Beg jenis kulit ini biasanya leper di bahagian bawah dan mempunyai dua tali pemegang. Sesuai digayakan pada majlis rasmi.
6. Tote Tali pendek dan terbuka tanpa zip. Bersaiz besar kerana fungsinya membawa banyak barang. Boleh dipakai untuk bersantai, membeli-belah malah sesuai juga untuk ke pejabat.
7. Beg Bahu Beg jenis ini merujuk kepada semua jenis rekaan yang boleh digayakan di bahu dan mempunyai satu atau dua tali. Tip memilih beg tangan
- Pastikan bentuk beg berlawanan dengan bentuk badan - apabila badan anda dari jenis 'curvy', pilih beg tangan dengan struktur solid.
- Jika badan anda jenis solid, pilih beg dengan struktur 'curvy'.
- Lebar beg tangan tidak melebihi lebar badan.
- Saiz beg tangan adalah seimbang dengan saiz badan.
|