Lapangan Terbang Di Pulau Antara Yang Terpencil Di Dunia
Kalau kita sebut tentang Pulau Saint Helena ni, mesti ramai yang tak pernah dengar. Mungkin lagu Helena dari My Chemical Romance lebih dikenali daripada pulau ini.
Pun begitu pulau ini sebenarnya cukup bersejarah kerana menjadi tempat persinggahan para pedagang Eropah yang kemudiannya menjadi penjajah di benua Afrika dan Asia.
Di sinilah tempat bersemadinya pemimpin Perancis, Napoleon Bornaparte selepas beliau dibuang negeri selepas tewas perang di Waterloo pada 1815.
Pulau ini pada asalnya ditemui oleh pedagang Portugis semasa mereka berlayar dari Eropah untuk ke Tanjung Harapan di hujung benua Afrika, pada 1502 oleh Joao da Nova.
Kemudian ia ditinggalkan kerana tanahnya yang kurang subur, dan pada 1659, Kapten John Dutton menemui pulau ini dan menamakan petempatan di sini sebagai Jamestown, sempena nama King James II di England.
Saint Helena sering menjadi tempat persinggahan para pedagang yang berlayar dari Eropah ke Afrika dan Asia, disamping dari Asia ke benua Amerika.
Ini kerana kedudukan pulau tersebut berada di tengah-tengah Lautan Atlantik – dan jaraknya dengan darat yang terdekat, di Sungai Cunene di Namibia iaitu 1,940 kilometer, dan Rio de Janeiro sejauh 4,000 kilometer.
Dengan kedudukannya yang begitu terasing, ia sering menjadi tempat buangan, seperti Napoleon Bornaparte, atau pemimpin kaum Zulu, Dinozulu, dibuang daerah di situ.
Pun begitu pada tahun 1869, Terusan Suez dibina di Mesir memendekkan jarak perjalanan dari Eropah ke Asia, kerana tidak perlu menempuh perjalanan jauh Lautan Atlantik lagi.
Sejak itu, pulau Saint Helena ini tidak lagi disinggahi kapal pedagang, sebaliknya kapal tentera yang berlayar mengawal perairan kepulauan jajahan British yang lain seperti Ascension Island, Tristan de Cunha dan Kepulauan Falklands.
Pulau ini sudah merayu untuk memiliki lapangan terbang sejak tamat Perang Dunia Kedua lagi. Namun selepas perang, British tidak lagi mempunyai empayar untuk dijaga, tambahan pula laluan tersebut tidak lagi penting kerana sudah ada Terusan Suez.
Pada tahun 1956, British menimbangkan untuk bekerjasama dengan tentera laut Afrika Selatan untuk membina lapangan terbang tersebut, namun tidak dilaksanakan, kerana Terusan Suez telah dimiliknegarakan oleh Gamal Abdel Nasser, Presiden Mesir.
Semasa Perang Falklands, apabila Argentina berperang dengan United Kingdom pada tahun 1983, pulau tersebut sekali disebut untuk membina lapangan terbang untuk kepentingan British di Lautan Atlantik.
Bagaimanapun hanya pada 2012, barulah cadangan lapangan terbang ini dipersetujui dan 3 tahun kemudian, lapangan terbang ini siap dibina dengan harga £285.5 juta (RM1.542 billion).
Pun begitu lapangan terbang ini menjadi tular di Britain kerana kesukaran untuk mendarat akibat angin kuat, menyebabkan ia ditangguhkan perasmiannya.
Ia diberi jolokan “the most useless airport in the world”, dan gelaran tersebut mengecewakan ramai warga Saint Helena kerana mereka amat memerlukan lapangan terbang tersebut.
Lapangan terbang ini pada akhirnya dirasmikan pada tahun 2016, dan ia banyak membantu penduduk setempat, terutamanya sekiranya ia melibatkan kecemasan, kerana untuk menunggu kapal tentera British singgah, biasanya perlu menunggu lebih kurang tiga minggu.
Dengan adanya lapangan terbang ini, perjalanan ke Cape Town cuma memakan masa 3 jam sahaja, berbanding 10 hari sebelum lapangan terbang ini siap.