Bagi kebanyakan orang, masa muda adalah masa yang paling menggembirakan kerana stamina tubuh berada dalam keadaan terbaik. Anda boleh mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti dalam sehari dan jarang jatuh sakit. Walaubagaimanapun, ada sebahagian orang yang membiarkan dirinya melakukan kebiasaan buruk sehingga boleh menjejaskan kesihatannya pada masa akan datang. Membiarkan diri melakukan kebiasaan buruk sama seperti membahayakan masa depan anda. Mungkin kesannya tidak nampak kerana anda masih muda. Anda mungkin hanya mengalami batuk atau sakit ringan yang mungkin sembuh hanya dalam beberapa hari. Namun, seiring bertambahnya usia, kesan negatifnya akan mulai anda rasa sehingga menahan anda dari melakukan sebarang aktiviti yang anda mahukan. Sekiranya anda tidak membuat perubahan dari sekarang, cepat atau lambat badan anda akan menderita walaupun anda masih muda. Terdapat lima tabiat buruk yang mesti anda hentikan segera, agar kesihatan anda tetap terjaga sampai tua.
1. Merokok Tidak kira apa jenis rokok yang anda hisap, tembakau sangat berbahaya bagi kesihatan anda. Tidak ada bahan selamat dalam produk tembakau, sama ada dariaseton, tar, nikotin, dan karbon monoksida. Bahan yang anda hisap tidak hanya mempengaruhi paru-paru anda, malah juga boleh mempengaruhi seluruh badan anda.
Kesan nikotin boleh merosakkan fungsi kognitif dan membuat anda merasa cemas dan mudah tertekan. Nikotin juga boleh menyebabkan sakit kepala dan juga masalah tidur. Itu baru nikotin, masih ada 7000 bahan berbahaya yang masuk ke dalam badan anda ketika anda merokok dan sebahagian daripadanya boleh menyebabkan kanser. Setakat ini belum ada cara yang pasti untuk merawat kanser, cara untuk mengelakkan kemungkinan mendapat penyakit kanser adalah dengan berhenti merokok mulai sekarang. 2. Lewat Tidur Anda pasti pernah mendengar bahawa tidur sangat penting untuk kesihatan. Anda mungkin juga mendengar bahawa tidur lebih awal sangat baik untuk badan anda. Walaupun anda mengetahui kebaikannya tetapi anda masih sukar melakukannya kerana ada banyak perkara yang ingin anda buat, contohnya menonton filem dan bermain permainan video. Semasa anda muda, anda mungkin tidak menganggapnya masalah kerana anda mempunyai banyak tenaga. Kebiasaan tidur lewat malam membuat anda mengalami perkara-perkara seperti ini, berat badan dan gula dalam darah meningkat, sukar menumpukan perhatian, lambat untuk bertindak balas, mudah lupa , mempunyai masalah kulit dan melemahkan sistem imuniti badan. Sekiranya dibiarkan berterusan, anda mungkin akan mengalami penyakit jantung dan kemurungan. Jadi mulai sekarang, matikan telefon bimbit dan komputer riba anda sebelum larut malam. Biarkan diri dalam kegelapan dan lambat laun anda pasti tertidur. Ia mungkin sukar, tetapi lama-kelamaan anda akan terbiasa. 3. Postur Tubuh Buruk Sejak kecil hingga sekarang, pasti anda sering disuruh berdiri tegak ketika berjalan atau duduk. Berdiri dan duduk tegak menjadikan anda kelihatan lebih gagah dan menawan. Namun, ternyata postur boleh memberi kesan lebih dari sekadar penampilan anda. Terdapat beberapa kesan sampingan yang mengejutkan dari postur badan yang tidak anda sedari. Bagaimana anda berdiri dan duduk boleh memberi kesan kepada seluruh badan anda, baik dari segi fizikal dan mental. Membongkok memang terasa selesa, tetapi kesan negatif yang dihasilkan jauh dari selesa. Terdapat banyak kesan buruk sekiranya anda sering membongkok. Ia mengakibatkan sakit belakang, kerap sakit kepala, sukar tidur, sakit urat leher, masalah membuang air besar dan juga tekanan darah tinggi. Oleh itu, pastikan badan anda lurus semasa anda berada di mana sahaja. Sekiranya anda penat, rehat seketika tetapi jangan biarkan badan anda membongkok terlalu lama. ![](https://uf.cari.com.my/forumx/mforum/portal/202107/18/234858yszbv08sjdblai3i.jpg)
4. Kurang Air Putih Air adalah bahagian penting dalam kehidupan. Sebilangan besar badan manusia terdiri daripada cecair. Air berfungsi untuk membekal mineral, vitamin, protein, dan nutrien lain ke seluruh badan anda. Air juga merupakan pelincir untuk tisu badan, termasuk untuk sendi dan tulang otot. Kerana peranannya sangat penting, manusia memerlukan sekurang-kurangnya 8 gelas air sehari untuk menjalankan proses metabolisme. Walaupun peranannya sangat penting, ramai orang tidak suka mengambil air putih kerana rasanya yang kurang enak. Mereka cenderung mengambil air yang mengandungi perisa tiruan seperti minuman ringan, kopi, dan sebagainya. Tidak salah mengambil minuman seperti itu, tetapi perlu diingat jika mengambilnya berlebihan akan mendatangkan kesan buruk. Ini kerana, gula dalam badan akan membuka pintu untuk diabetes, masalah buah pinggang, kegemukan, jangkitan saluran kencing dan sebagainya. Sekiranya anda masih menyanyangi kesihatan dan masa depan anda, mulai sekarang minum lebih banyak air putih. 5. Kurang Cahaya Matahari Kebanyakan manusia menghabiskan masanya di tempat kerja dan juga rumah, ini boleh mengakibatkan kurangnya pendedahan cahaya matahari. Kekurangan cahaya matahari boleh mempengaruhi tubuh secara fizikal, mental dan emosi. Sekiranya anda jarang terdedah kepada cahaya matahari, maka anda akan mengalami kekurangan vitamin D. Ini membuka peluang untuk mendapat penyakit seperti diabetes, penyakit jantung, keguguran rambut, penyakit gusi, kerosakan gigi dan sebagainya. Jadi ambil masa sekurangnya 30 minit sehari menghadap cahaya matahari.
Kesimpulannya, masih banyak tabiat buruk yang mesti anda hentikan sebelum terlambat. Lima perkara di atas boleh anda lakukan sekarang tanpa menunggu masa yang sesuai. Sudah tentu, perubahan ini tidak selesa, tetapi ia adalah untuk kebaikan jangka panjang. Jadi Apakah pilihan anda?
|