View: 3487|Reply: 0
|
Episod lutut mencium dagu✿travel santai
[Copy link]
|
|
PENULIS amat menggemari aktiviti rekreasi terutama mendaki gunung di dalam mahupun luar negara.
Pada Julai 2018, penulis secara solo dari Malaysia terbang ke Indonesia sebelum berpakat dengan rakan untuk bertemu di negara berkenaan dengan tujuan mendaki empat gunung di sana bersama-sama.
Terdahulu, penulis bersama beberapa rakan berjaya menawan Gunung Prau dan Gunung Sindoro sebelum meneruskan misi ke Gunung Sumbing serta Gunung Slamet.
Selepas melakukan pendaftaran dan membuat bayaran, kami menaiki ojek dari basecamp ke Pos 1 yang hanya mengambil masa sekitar 20 minit sahaja sebelum mulai mendaki pada jam 11 pagi.
Awal pendakian, trek tidak begitu curam. Boleh dikatakan trek dari Pos 1 ke Pos 2 adalah terbuka sehingga boleh melihat pemandangan Gunung Sindoro di sebelah kiri trek. Sampai di Pos 2 kami berhenti berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan.
Di sinilah kami melalui trek terkenal dengan nama 'engkol-engkolan' kerana di sini trek berpasir dan berdebu yang sangat menguji kekuatan lutut dan kaki untuk mengelak menggelongsor perlahan-lahan ke bawah.
Kemudian penulis tiba di Pos 3 jam 4 petang. Selepas makan, kami tidur seawal jam 8 malam untuk bangun semula pada jam 1 pagi nanti.
Bagaimanapun, penulis tidak dapat tidur nyenyak kerana angin sangat kuat di luar. Selepas bersiap-siap, kami pun bergerak ke puncak.
Perjalanan dalam ribut agak sukar, namun kurang sejam mendaki, angin mulai perlahan dan berhenti kira-kira jam 5 pagi. Ketika itu, kami sudah mulai masuk ke trek berbatu. Ketika Subuh hingga matahari terbit kami berada di kawasan Pasar Watu.
PERMULAAN pendakian Gunung Slamet.
MENGERAH tenaga di trek engkol-engkolan. Di sinilah bermula episod lutut mencium dagu dan mendaki menggunakan tangan serta kaki seperti 'spiderman' kerana perlu melangkau batu-batuan yang besar lagi tinggi.
Kami tiba di Watu Kotak 8.30 pagi sebelum meneruskan perjalanan dan tiba di kawasan Tanah Putih sejam kemudian. Pada masa sama turut bertembung dengan rakan penulis iaitu Tika dan Xavier yang dalam perjalanan turun selepas berjaya sampai ke puncak.
Gunung Sumbing pula mempunyai dua puncak utama iaitu Puncak Buntu dan Puncak Rajawali tapi untuk ekspedisi kali ini, penulis memilih untuk ke Puncak Buntu sahaja kerana lebih dekat.
Selepas berehat kami meneruskan perjalanan dan selamat tiba di puncak Gunung Sumbing jam 10.30 pagi. Dari Puncak Sumbing kelihatan keindahan panorama sekeliling dan sudah semestinya pemandangan indah Gunung Sindoro.
Pada jam 11 pagi kami mulai turun kerana cuaca semakin panas selain kekurangan bekalan air minuman. Kami tiba di Pos 1 pada jam 5.30 petang dan terus menaiki ojek yang menunggu.
Esoknya, selepas bersiap dan membuat pendaftaran, kami memulakan pendakian Gunung Slamet dengan melalui kawasan kebun warga desa sehingga memasuki trek hutan.
Ketika mendaki perlahan-lahan menuju ke Pos 4, kami melihat cahaya lampu. Rupa-rupanya penunjuk arah dikenali sebagai Menir turun ke Pos 4 kerana risau kami belum sampai ke Pos 5.
Akhirnya pada jam 7 malam kami tiba di Pos 5. Selepas makan, kami tidur awal kerana perlu memulakan pendakian lebih awal kerana Pos 5 masih jauh dari puncak.
Kami bergerak ke puncak jam 1 pagi dan akan bertemu dengan Tika dan Xavier yang berkhemah di Pos 7 yang mengambil masa selama tiga jam. Kami berehat sebentar di Pos 7 sebelum meneruskan perjalanan. Di Pos 8, kami berhenti sebentar untuk melihat matahari terbit.
BERSAMA pendaki tempatan di Pos 2 Trek Gunung Sumbing.
PENULIS di puncak Buntu, Gunung Sumbing. Ketika itu angin kuat sudah mula terasa dan bau sulfur mulai menyengat. Akhirnya kami tiba di Pos 9.
Kami terus mendaki terus ke puncak melalui trek berbatu longgar yang agak licin. Sudah terbayang waktu turun pasti akan tergelincir sekiranya tidak berhati-hati.
Jam 8 pagi, kami akhirnya tiba di kawasan tebing kawah Gunung Slamet. Ketika itu angin sangat kuat, jadi kami menunggu waktu yang sesuai untuk bergerak ke puncak.
Kami berlindung dari angin kuat di sebalik tebing pelawangan selama 30 minit sebelum bergerak perlahan-lahan mendaki ke puncak yang tidak begitu jauh.
Namun, berjalan melawan angin kuat menimbulkan kerisauan dan keresahan kerana silap hari bulan boleh jatuh ke dalam kawah gunung berapi.
Selepas 30 minit berjalan akhirnya, kami tiba di hujung bibir kawah yang juga Puncak Gunung Slamet di ketinggian 3,428 meter dari paras laut.
Penulis bersyukur dan terharu kerana berjaya tiba di puncak Gunung Slamet sekali gus melengkapkan misi mendaki empat gunung di Indonesia!
Disiarkan pada: Ogos 1, 2021 @ 12:01am
hmetro.com.my
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
|