Tiong: Ketat semula SOP kemasukan orang luar ke Bintulu
Tiong
BINTULU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu disaran agar memperketatkan semula Prosedur Operasi Standard (SOP) kemasukan orang luar ke Bintulu berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di bahagian ini, kata Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing.
Katanya, bagi tujuan itu, JPBB Bintulu harus mengkaji semula SOP orang luar masuk ke bahagian ini dengan menjalankan ujian calitan rT-PCR selain perlu mengemukakan permit polis dan sijil vaksinasi.
"Dalam masa sama, saya memohon agar Pejabat Kesihatan Bintulu mengambil langkah tertentu bagi mengurangkan lagi kos ujian calitan masuk khususnya buat individu yang bekerja dalam sektor penting yang keluar masuk ke Bintulu," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Cadangan bagi mengurangkan kos ujian calitan ini ujarnya dapat mengurangkan lagi bebanan yang terpaksa ditanggung oleh setiap individu dari luar yang mempunyai urusan penting di bahagian ini.
Tiong dalam masa sama melahirkan kekesalan berikutan terdapat kes di mana terdapat individu yang menggunakan surat majikan palsu bagi masuk ke Bintulu. Beliau menegaskan, JPBB Bintulu harus memandang serius akan perkara ini dengan memikirkan mekanisme terbaik bagi membendung kegiatan sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab ini.
Dalam masa sama katanya, semua pihak di khususnya pasukan barisan hadapan harus besedia menghadapi peningkatan semula kes COVID-19 di Bintulu.
"Dengan situasi pada masa sekarang, semua pihak harus bersiap sedia dengan pematuhan SOP yang ketat semasa memandangkan Bintulu sudah mencatatkan 76 kes terbaru pada dua hari lepas yang mana kesemua yang dilaporkan positif ini sudah lengkap pengambilan dua dos vaksin," jelas beliau.
Justeru itu katanya, Tiong berharap agar JPBB Bintulu memikirkan mekanisme sesuai bagi membendung penularan wabak COVID-19 yang sedang meningkat saban hari sebelum keadaan bertambah buruk dan sukar dikawal seperti sebelum ini.
utusanborneo.com.my/2021/08/21
|